Friday, 27 November 2020

PKPB 9.11.2020 - 6.12.2020

Assalam.. muga hidup kita lebih baik dari yang semalam dan hari-hari mendatang.

Berikutan kes pandemik Covid 19 yang semakin teruk, pihak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) mulai dari 9.11.2020 hingga 6.12.2020 kepada semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis,  Kelantan dan Pahang.

Sebelum ini negeri Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta Putrajaya telah pun sebulan menjalani PKPB disebabkan kes Covid 19 yang meningkat di tempat mereka.



Berdasarkan rekod pada tarikh 6.11.2020 maka langkah-langkah pencegahan telah diambil untuk kebaikan semua pihak. Anak-anak pun tidak bersekolah dan mulai belajar secara di dalam talian. Tarikh penting persekolahan berubah di akhir tahun 2020 dan pada awal tahun 2021. 

Setelah 2 minggu menjalani tempoh PKPB dan perayaan Deepavali telah berakhir, beberapa negeri diumumkan tamat PKPB dan berbalik pada PKPP seperti sebelumnya kerana kes Covid 19 yang terkawal. Negeri tersebut ialah Melaka, Trengganu dan sebahagian negeri Johor. Negeri Johor pula ada dua daerah yang masih menjalani PKPB iaitu Kota Tinggi dan Mersing. Urusan untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Deepavali kakchik tergendala kerana larangan merentas negeri. Insya Allah minggu ini kami akan pulang melawat emak di Melaka.

Negeri Kelantan pula menjalani PKPB mulai 21.11.2020 bersama dengan negeri-negeri lain yang belum melepasi tahap rekod yang memuaskan.

Sunday, 1 November 2020

Hasil Crochet Kakchik

Assalam.. muga kalian dapat meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini dengan tenang serta berfikiran positif.

Hobi mengait masih kakchik teruskan dengan mengambil tempahan beberapa jenis beg bekal, beg botol air, sarung kotak tisu dan beg sling yang mudah. 

Kali pertama kakchik mengait sarung tisu atau dikenali dengan tbc (tissue box cover) ini amat mengujakan. Kakchik memilih paten kulit buaya kerana ia nampak kemas dan menarik. Sebenarnya ada pelbagai paten TBC termasuklah yang berbunga-bunga cantik tetapi kakchik tidak berapa rajin untuk mengaitnya. 




Begitu juga dengan beg botol air yang 1 liter dan 750 ml ini, kakchik memilih paten kulit buaya dan strawberi. Masing-masing merupakan kali pertama kakchik mengait untuk tempahan rakan-rakan terdekat. Agak sukar untuk mengait pada mulanya, ianya menjadi lebih mudah setelah mendapat rentak dan semangat untuk menyiapkannya. 



Beg bekal pula kakchik cuba kait dengan berpandukan video Youtube.  Banyak pilihan paten, kakchik pilih mengikut saiz yang rakan kakchik kehendaki iaitu saiz 23 x 14 cm bekas makanan. 




Beg buku tambahan anak bongsu yang berumur 10 tahun ini kakchik kaitkan mengikut paten beg telekung khas buatnya yang sangat teruja apabila melihat kakchik mengait. Dapatlah beliau bawa ke sekolah sebelum sekolah ditutup bagi tahun 2020 ini. 


Kakchik kait juga beg sling yang ringkas untuk kegunaan sendiri. Walaupun ianya tidaklah semahal beg kulit tetapi nilai seni kaitan sendiri menyebabkan kakchik bangga menggunakannya. 


Terima kasih kepada sahabat dan rakan-rakan yang sudi menempah barangan kait kakchik. Sebahagian dari kutipan hasil kait telah dan akan kakchik kongsikan bersama orang-orang terdekat yang memerlukan. Muga sedikit sumbangan dapat menggembirakan mereka. Insya Allah. 

Saturday, 31 October 2020

Aidil buat braces di KK Tmn U

Assalam.. muga kalian ceria bersama keluarga tersayang.

Seperti yang telah kakchik kongsi pada slot sebelum ini tentang masalah gigi taring anak kakchik yang tumbuh di lelangit, janji temu bagi 4 minggu berturut-turut telah di susun oleh pihak klinik. Doktor pakar menasihati kami untuk hadir ikut tarikh yang ditetapkan agar proses menjalan lancar. 

Janji temu yang pertama setelah membuat mould gigi ialah meletak getah di celah-celah tiap gigi geraham belakang untuk tujuan memberi ruang dan memudahkan besi penahan dipasang nanti.

Seminggu berikutnya janji temu untuk cabutan dua gigi geraham pertama sebelah kiri. Akar gigi yang dicabut agak melentik.



Minggu seterusnya janji temu untuk cabutan gigi geraham kanan sebelah atas pula. Ketika itu besi penahan dipasang di geraham kiri dan kanan sebelah atas. Mulanya anak kakchik berasa tidak selesa dan hanya ambil makanan lembut seperti bubur dan roti yang dicicah air milo sahaja. 

Pada minggu berikutnya janji temu untuk memasang pendakap gigi atas dan bawah. Setelah dipasang oleh doktor pakar, staff nurse memberi penjelasan cara-cara penjagaan gigi yang telah dipasang pendakap. Aidil perlu menggunakan ubat gigi yang memulih kesihatan gusi dan berus gigi khas untuk orthodontik. Kakchik membelinya di farmasi yang berdekatan. 

Harga untuk rawatan pendakap gigi bergantung kepada kerjaya ibubapa samada kakitangan kerajaan atau swasta.  Disini kakchik paparkan harga untuk yang bekerja swasta ye. So minggu ketiga kakchik perlu menjelaskan bayaran RM100 untuk besi penahan dan minggu berikutnya sebanyak RM1,000 untuk kos pemasangan pendakap. Lain-lain bayaran ditangguhkan hingga tiba masa yang diperlukan. Bayaran RM5 rawatan pakar adalah percuma kerana Aidil membawa surat akuan pihak sekolah. Syukur alhamdulillah. 

Wednesday, 30 September 2020

Ambil Kunci Rumah Durian Tunggal

Assalam... muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari mendatang menjanjikan kebahagiaan buat kalian semua. PKPP masih berjalan hingga 31.12.2020, jadi kita mesti jaga jarak dan sentiasa amalkan norma baharu dan 3W di dalam menjalani kehidupan seharian.

Rumah teres yang kakchik tempah 2 tahun yang lepas telah pun siap semasa di dalam tempoh PKP fasa 1 lagi. Lokasi rumah ialah di Durian Tunggal, Melaka. Surat notis pengambilan kunci diedarkan semasa negara di dalam tempoh PKPP dan kakchik telah membuat janjitemu pada hari sabtu 1.8.2020 untuk tujuan itu.

Setelah mendapat kunci dan segala dokumen berkaitan kakchik pun menguruskan untuk daftar masuk api dan air bagi kemudahan kami apabila pulang ke Melaka nanti. 





Kakchik sedang menunggu masa cuti yang sesuai untuk memasang lampu dan membawa masuk beberapa perabut utama yang menjadi keperluan mengikut bajet kami yang sederhana sahaja. Muga urusan kakchik sekeluarga dipermudahkan. Aamiin

Hiking di Gunung Pulai

Assalam... muga kalian dikurniakan kesihatan yang baik dan ceria bersama keluarga tercinta. 

Tarikh 12.9.2020 bersamaan hari sabtu kakchik sekeluarga beriadah di kawasan kejiranan berhampiran iaitu Gunung Pulai. Ketinggiannya cuma 600 meter dan dijangka mengambil masa selama 3 jam untuk menawan puncaknya dengan perjalanan santai.

Orang agak ramai pada hujung minggu ni, kami terpaksa pakir kereta di kawasan yang jauh dan kemudiannya memulakan larian anak.







Kakchik berpasangan dengan si bujang kecil dan suami pula melayan kerenah si bongsu. Kami berpecah di tengah pendakian. Terdapat laluan kedua untuk pendaki yang pro iaitu di hutan pelajaran. Laluan tersebut agak mencabar katanya.



Kakchik meneruskan pendakian yang agak curam dan meletihkan itu bersama si bujang hingga suku ketiga laluan si bujang terpaksa berhenti kerana keletihan. Kakchik terus berjuang sendirian hingga bertemu sekumpulan pelajar yang menuju matlamat yang sama. Syukur kerana mendapat teman. Depan sekali di dalam photo ialah Aisyah, murid tahun 5 SK Sg Danga. Mereka bertiga pada hari itu ialah kenalan dari kecil kerana ibubapa mereka rakan setugas iaitu guru.

Kami berempat meneruskan pendakian yang bertambah cabarannya iaitu hujan hingga sampai ke puncak. Di dalam kesejukan kami gembira kerana telah menyelesaikan misi pada pagi itu. Setelah mengambil beberapa photo, kumpulan kami pun turun menggunakan laluan yang sama. Walaupun perjalanan turun agak mudah tetapi kena berhati-hati dengan jalan yang licin dan lopak air yang agak dalam.







Sampai sahaja di bawah kami terus ke medan selera yang terdapat di situ. Sedap dan enak menu yang dimasak, sangat berselera kami makan. 

Untuk sesiapa yang ingin melakukan aktiviti mendaki boleh pergi awal kerana taman rimba dibuka dari pukul 6.00 pagi. Bayaran pakir kereta dikenakan sebanyak RM3 dan kalian boleh pakir  di mana-mana rumah penduduk kampung dengan hanya memberi tiket pakir yang telah dibayar.  Muga info dari kakchik bermanfaat untuk semua. 

Tuesday, 1 September 2020

Sambutan Tahun Baru 1442 Hijrah

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari semalam dan kalian sentiasa ceria bersama keluarga tersayang.

Tahun baru 1442 Hijrah kakchik sambut bersama beberapa orang jamaah surau pada petang rabu 19.8.2020. Majlis dimulai dengan bacaan doa akhir tahun 1441 Hijrah dan kemudiannya solat maghrib berjamaah. Selepas itu disusuli oleh bacaan doa awal tahun dibacakan.

Perasaan sebak tidak dapat kakchik tahan kerana inilah kali pertama kakchik jejakkan kaki ke surau untuk majlis ilmu selepas tempoh PKP. Seronok juga bertemu ahli helwa yang lain. 


Acara berikutnya ialah ceramah Maal Hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Nazri dari Pejabat Agama Johor Bahru. Sangat menarik penyampaian ceramah beliau.

Solat isyak berjamaah disempurnakan selepas habis ceramah dan acara penutup ialah jamuan makan. Enak sekali masakannya. Muga setiap dari kita dapat menghayati makna hijrah yang sebenar dan dapat mengamalkan cara Islam di dalam kehidupan.


Wednesday, 26 August 2020

Selamat Tinggal Exora JPF

Assalam... muga kalian ceria menempuh hari-hari dengan kehidupan norma baharu.

Minggu kedua Ogos 2020 hubby kakchik telah iklankan kereta Exora untuk dijual berikutan beliau telah membeli kereta lain yang lebih ekonomi. Sambutan agak menggalakkan iaitu beberapa orang dari daerah Kota Tinggi yang berminat untuk membeli secara tunai. Ada juga wakil penjual kereta terpakai yang menawarkan harga berpatutan. 

Kami terpaksa menjual kereta secara sendiri kerana harga trade in yang ditawarkan oleh pihak tertentu terlalu rendah dan agak tidak masuk akal. Setelah beberapa pembeli datang untuk view dan test drive kereta kakchik maka kakchik pun mula menghantar email kepada pihak HP bank untuk mendapatkan geran. Tujuannya untuk membawa kereta mendapatkan pemeriksaan Puspakom. Syarat untuk menjual kereta terpakai perlukan begitu. Bayaran RM22 dikenakan dan jika perlu di korier ke cawangan bank berdekatan, maka kos RM10 perlu dibayar.

Seterusnya kakchik email kepada pihak finance untuk dapatkan penyata terkini bagi penjelasan penuh. Ini juga memerlukan bayaran RM22 ye. Kakchik akhirnya memilih untuk menjual kepada pihak penjual kereta terpakai di Skudai kerana ianya lebih mudah. Cuma bawa geran dan kad pengenalan untuk buat pengesahan hakmilik setelah rundingan harga. Emailkan penyata terkini untuk full settlement dan dalam tempoh seminggu dapat baki payment selepas tolak baki hutang di bank.


Jasamu dikenang

Sayang kamu yang berusia 7 tahun.

Urusan pembatalan insurance hanya boleh dibuat setelah e-batal dari pihak bank diperolehi oleh penjual kereta terpakai. Ianya boleh dibuat oleh owner sendiri atau runner dengan bayaran tertentu.

Mudah juga urusan jualannya, rugi jika terima tawaran harga masa trade in yang terlalu rendah dulu. Ramai yang nak ambil untung atas angin tanpa usaha. Kakchik mencuba dengan bantuan hubby. Terima kasih abang.

Saturday, 1 August 2020

Salam Aidil Adha 2020

Assalam.. muga kalian sentiasa ceria bersama yang tersayang.

Aidil adha pada tahun ini jatuh pada tanggal 31.7.2020 bersamaan dengan hari jumaat. Hanya 8 orang rakyat Malaysia yang berpeluang mengerjakan ibadah haji pada tahun ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Mereka insan terpilih yang menetap di Arab Saudi.

Kakchik dan keluarga merayakan raya qurban kali ini di kampung bersama ibu tersayang.



Wednesday, 1 July 2020

Gigi Taring Aidil Tumbuh Di Lelangit

Assalam.. muga kita semua sentiasa berada di bawah payung rahmat Illahi. Amalkan penjarakan sosial, kerap cuci tangan dan pakailah pelitup muka ketika berada di tempat awam bagi menangani pendemik Covid-19.

Janjitemu Aidil bersama doktor pakar gigi di Klinik Kesihatan Taman Universiti pada 21.6.2020 agak memeranjatkan kakchik kerana rupa-rupanya taring sebelah atas telah mula keluar. Satu yang sebelah kiri telah menyulur sedikit diatas gusi agak tinggi dan yang sebelah kanan pula menyulur di bahagian bawah. Kiranya keluar di sebelah lelangit.

Sepatutnya Aidil kena ambil giliran yang agak lama iaitu dalam tempoh 3 tahun. Tetapi doktor terpaksa mempercepatkan proses pembaikan gigi kerana taring yang tumbuh keluar di tepi lelangit harus di buat pembedahan.

Begini rupa x-ray yang diambil

Doktor pakar memberi penerangan yang terperinci akan situasi dan pilihan cara pemulihan. Kakchik memilih cara yang pertama iaitu buat rawatan braces untuk memberi ruang pada gigi taring untuk bergerak ke tempat asal bagi taring yang tumbuh tinggi di gusi dan yang tumbuh di lelangit pembedahan akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah setelah ruang yang betul telah tersedia.

Muga urusan kakchik dan anakanda kakchik dipermudahkan. 

PKPB Diganti PKPP

Assalam.. muga hari-hari yang kita lalui lebih bermakna dan jadikan hari ini lebih baik dari semalam. 

Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 9.6.2020 telah diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10.6.2020 - 31.8.2020. Kerajaan telah memberi kelonggaran untuk rentas negeri mulai 10.6.2020 untuk tujuan melawat ibubapa dengan mengikut langkah SOP yang ditetapkan dan kekalkan penjarakan sosial bagi memutuskan rantaian pendemik Covid-19.

Kakchik sekeluarga berpeluang melawat mak di kampung pada hujung minggu iaitu 12.6.2020 sempena syawal yang masih berbaki. Peluang itu kami ambil untuk bawa mak berubat. Kami juga sempat melawat along dan kak uda sekeluarga. 

Kenduri kendara dan majlis rumah terbuka masih tidak dibenarkan lagi. Kedai makan telah dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Semuanya dengan norma yang baru.

Muga masyarakat kita dapat menjalani kehidupan yang baru dengan penuh ketabahan. 

Sunday, 31 May 2020

Birthday Hubby Kakchik ke 50 Tahun

Assalam... muga kalian sihat sejahtera menjalani musim virus Covid-19 ini. Muga rantaian virus dapat kita putuskan segera.

Tanggal 30.5.2020 merupakan hari ulangtahun kelahiran suami kakchik yang ke 50 tahun. Syukur alhamdulillah separuh abad Allah bagi nafas buat insan tersayang. Happy birthday abang! Muga diberikan rezeki kesihatan yang baik juga diberikan umur yang panjang untuk berkhidmat dan berbakti kepada keluarga juga masyarakat.








Sambutan Aidilfitri 2020 @ PKPB COVID-19

Assalam.. muga kalian sentiasa berada dibawah lindunganNya.

Genap sebulan umat Islam berpuasa di bulan Ramadhan. Muga amalan kita diterima oleh Allah Taala dan sebagai tanda kemenangan kita semua meraikan dengan kehadiran Aidilfitri yang mulia dan barokah.

Sambutan Aidilfitri tahun ini jatuh pada hari ahad 24.5.2020 dan kita semua masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Semua rakyat Malaysia hanya dibenarkan menyambut Aidilfitri di rumah masing-masing, ziarah pada hari pertama Syawal untuk rentas daerah sahaja dan tamat pada tengah malam. Tiada kebenaran untuk rentas negeri.

Kakchik sekeluarga menyambut Syawal kali ini di Johor Bahru dan di rumah sendiri. Maknanya tahun ini merupakan tahun kedua kami tidak menyambut 1 Syawal di kampung kakchik di Melaka. Tahun lepas kami menyambutnya di St Petersburg, Russia bersama anak sulung dan kawan-kawan sepengajian beliau.

PKPB masih mengekalkan arahan tidak boleh ke masjid jadinya semua umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing.




Solat sunat Aidilfitri di rumah disebabkan PKP




Friday, 1 May 2020

Hari Pertama Puasa 2020 Pada PKP Fasa 3

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera bersama insan tersayang. Teruskan duduk di rumah agar rantaian virus Covid-19 dapat di putuskan.

Hari khamis 23.4.2020 merupakan malam pertama solat sunat tarawih ditunaikan di rumah masing-masing kerana PKP fasa 3 masih berlangsung. Malam itu juga PM Tan Sri Muhyiddin telah berucap dan menyampaikan berita yang PKP akan disambung iaitu fasa ke4 dari tempoh 29.4.2020 hingga 12.5.2020. Esoknya bermula hari pertama ibadah puasa di bulan Ramadhan 1441 hijrah bersamaan hari jumaat tanggal 24.4.2020.

Juadah berbuka puasa pada hari pertama


Juadah berbuka pada hari kedua puasa

Asbab PKP kami sekeluarga dapat menjalani ibadah puasa berenam beranak. Muga kami terus istiqomah di dalam ibadah dan segala amalan kami diterima oleh Allah.. aamiin

Tuesday, 14 April 2020

Resepi Ayam Percik Mudah Dan Sedap

Assalam... muga kalian terus ceria dan sihat sejahtera mengharungi PKP. Sepatutnya hari ini 14.4.2020 merupakan hari terakhir PKP fasa 2. Ianya disambung lagi, esok bermula PKP fasa 3 iaitu dari 15.4.2020 - 28.4.2020. Muga kita sama-sama dapat memutuskan rantaian virus Covid-19.

Kakchik kongsikan resepi ayam percik yang mudah dan sedap. Selalunya masa berbuka di bulan Ramadhan kami beli di bazar so sebagai persediaan puasa kali ini di musim PKP kakchik mencuba masak sendiri.

Yang bakar kali pertama telah di makan.. hihi

RESEPI AYAM PERCIK MUDAH DAN SEDAP
Bahan-bahan
Bahan perapan :
- ayam seekor dipotong 4 (kakchik potong 16)
- 5 ulas bawang merah
- 5 ulas bawang putih
- halia sebesar ibu jari
- sedikit garam

Bahan untuk kuah :
- 1 cawan santan cair, 1 cawan santan pekat
- serai 4 batang
- halia sebesar ibu jari
- lengkuas sebesar ibu jari
- 1 inci kunyit hidup
- 1 sudu teh jintan manis
- 1 sudu teh jintan putih
- 1 sudu makan ketumbar
- 20 tangkai cili kering (rendam dalam air panas)
- 1 cawan air untuk mengisar

- gula melaka 3 sudu makan
- garam, asam keping dan serbuk perasa

CARA-CARA :
1. Tumbuk bahan perapan secara kasar dan perasakan garam. 

2. Lumur bahan yang ditumbuk dan perapkan anggaran 1 jam atau lebih. Lebih lama lagi sedap.

3. Sementara itu, kita boleh sediakan kuah. Ambil semua bahan untuk dikisar dengan blender. Selepas siap dikisar didihkan bersama 1 cawan santan cair.

4. Tambahkan 2 keping asam keping dan perasakan dengan garam, gula melaka dan serbuk perasa.

5. Masukkan ayam yang diperap (jika perlu buat dua kali round) ke dalam kuah sehingga separuh masak atau agak kecut ayamnya.

6. Angkat dan perapkan lagi sekali dengan sedikit kuah percik selama 1 jam. Kakchik perap sekejap sahaja.

7. Lebihan kuah di dalam kuali kita tambahkan dengan 1 cawan santan pekat. Masak sehingga mesra dan bila teksturnya telah cukup pekat bolehlah tutup api.

8. Akhir sekali bakar/panggang ayam yang diperap tadi hingga masak sepenuhnya.  Percikkan kuah sesekali bila agak kering.

9. Bila telah kuning keemasan, bolehlah diangkat dan dihidangkan bersama kuahnya. Sungguh menyelerakan.

ayam sedang dibakar

Kuah sedang dimasak bersama santan cair

Muga resepi yang mudah ini dapat dimanfaatkan bersama. Insya Allah.

Friday, 10 April 2020

PKP Sambung hingga 28.4.2020

Assalam.. muga semuanya berada di bawah rahmat Allah. Muga dapat mengikut perintah kawalan pergerakan dengan duduk di rumah masing-masing.

Jumaat @ 10.4.2020 merupakan jumaat keempat solat Jumaat tidak dapat dilaksanakan di seluruh negara kerana PKP masih berlangsung dari 18.3.2020 hingga 14.4.2020. Sedihnya hati melihat perkara seumpama ini berlaku gara-gara penularan virus maut covid-19. Kerajaan mengambil tindakan drastik untuk menghentikan rantaian virus C-19.

Pada pukul 4.00 petang 10.4.2020 itu PM Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa tempoh PKP disambung lagi 2 minggu hingga 28.4.2020. Ini disebabkan wabak C-19 masih merebak ke seluruh negara. Gelombang ketiga dijangka pada pertengahan bulan April ini.

Harap semua warga Malaysia dapat mematuhi arahan kerajaan untuk kebaikan kita juga. Kompaun kepada yang melanggar arahan sebanyak RM1k berkuatkuasa.

#stayathome
#kitajagakita