Friday 30 April 2021

HELWA Flora Rewang Buat Bubur Lambuk

Assalam semua.. muga kalian berbahagia menjalani ibadah puasa di dalam norma baharu.

Pada tanggal 27.4.21 bersamaan hari Selasa, 14 Ramadhan Pengerusi Helwa Surau Flora iaitu Puan Hajah Juriah telah mengadakan program rewang untuk membuat bubur lambuk mulai jam 11 pagi di kediaman beliau.

Kakchik hanya dapat turut serta pada jam 12.45 kerana ada urusan. Ketika itu bubur di dalam 3 periuk sederhana besar telah mulai pekat untuk dikacau. Kakchik mengambil giliran mengacau dengan menggunakan centong panjang.

Seronok juga kerana ia memerlukan tenaga yang banyak dan dikacau selalu agar bahagian bawah tidak berkerak. Ketika itu semua ramuan seperti sayur-sayuran telah siap disiang. Ia akan dimasukkan sedikit demi sedikit mengikut step hingga bubur telah benar-benar masak.

Puan Juriah turut rewang memasak makanan berbuka untuk keluarga kami pada petang itu. Menu masakannya ialah ayam masak ungkep, sambal goreng dan ikan siakap keong som. Semua makanan turut dibungkus untuk dibawa pulang sebagai juadah berbuka nanti.








Bubur lambuk yang telah sempurna masak telah dibungkus ke dalam bekas bulat jernih yang ditampal stiker HELWA FLORA. Ianya untuk diagih-agihkan kepada penduduk di Surau Flora pada jam 6 petang, sekali dengan agihan makananbberbuka yang disediakan oleh pihak Surau Flora.

Muga bubur lambuk yang dinikmati oleh penduduk dapat menyatukan hati-hati mereka untuk kebaikan bersama. Insya Allah.

Saturday 24 April 2021

Geraham Susu Pulpotomy Kak Tasya Tanggal Ketika Umur 23

Assalam.. muga kalian berada di dalam lindungan Nya.  Selamat berpuasa di bulan Ramadhan yang penuh barokah ini. Muga ibadah puasa kita diterima Allah dan dilipat gandakan lagi pahala dengan amalan solat sunat serta tadarrus.

Kali ini kakchik kongsikan tentang gigi pulpotomy anak kedua kakchik iaitu Tasya. Beliau sekarang di semester akhir dengan menyewa rumah di sekitar Shah Alam berhampiran universiti. Terkejut kakchik bila beliau telefon untuk maklumkan tentang gigi gerahamnya tanggal. Gigi susu tanggal disebabkan gigi kekal telah menyusul keluar. Syukur alhamdulillah urusannya telah dipermudahkan dan puasanya tidak terbatal kerana tidak melibatkan objek masuk ke rongga.

Sebenarnya ketika usia beliau 7 atau 8 tahun kakchik telah membawa beliau ke Klinik Pergigian Rosni di Bandar Sri Permaisuri iaitu tempat kami menetap ketika itu untuk khidmat rawatan pulpotomy. Giginya berlubang agak teruk kerana aktiviti mengunyah gula-gula di rumah pengasuh yang turut mengambil upah membungkus pelbagai jenis manisan.




Gigi geraham susu tersebut bertahan agak lama sehingga beliau tamat sekolah rendah. Ketika beliau di tingkatan 3 baru kakchik teringat semula berkenaan pulpotomy. Kami menetap di JB jadi tidak dapat meneruskan rawatan di klinik yang sama.

Doktor di sini perlukan x-ray bagi memastikan kesahihah maklumat yang kakchik berikan jadi bertangguh agak lama hingga beliau tamat sekolah menengah. Dan beberapa tahun kemudian, x ray telah diambil dan doktor sarankan agar gigi disimpan dahulu kerana kondisi yang masih elok lagi. Doktor juga telah memberitahu bahawa sekiranya gigi kekal keluar, ada kemungkian ianya berada dalam kedudukan senget. Ianya memerlukan rawatan braces untuk meluruskannya.



Kakchik berikan sedikit photo yang menghuraikan tentang pulpotomy agar kalian lebih jelas mengenainya.