Tuesday 31 January 2023

Majlis Sambut Menantu @31.12.22

Assalam. Muga kalian beroleh ketenangan dan ceria bersama keluarga tersayang.

Hari terakhir pada tahun 2022 iaitu 31.12.2022 bersamaan hari Sabtu telah dipilih sebagai hari istimewa menyambut menantu iaitu isteri kepada anak sulung kami Muhammad Danial dan pasangannya Atirah Hazizi. Hari yang sangat indah dimulakan dengan acara khatamul Quran bagi anak bongsu yang darjah 6. Sepatutnya acara khatam dirancang 2 tahun lepas sempena hari lahir beliau ke 10 tahun tetapi disebabkan PKP dan Covid 19 terpaksa ditangguhkan. 




Syukur alhamdulillah Ustaz Wan Faisal yang menjadi guru beliau sudi datang untuk acara tersebut dengan diiringi beberapa orang anak ngaji yang berkesempatan bersama. Selepas bacaan akhir surah-surah pendek dan doa khatam serta doa selamat, sedikit jamuan dihidangkan. Berkat pulut kuning bersama rendang ayam & bunga telur diberi sebagai buah tangan tradisi.

Seterusnya majlis kami pun bermula dengan ketibaan keluarga terdekat dan jiran-jiran serta sahabat dekat dan jauh. Cuaca yang cerah berangin membuatkan kami rasa sangat bersyukur kerana telah mempermudahkan urusan kami.

Tetamu dihidangkan dengan nasi beriyani berlaukkan daging masak beriyani, ayam masak merah, jelatah dan kari kambing. Nasi putih juga disediakan sebagai pilihan. Kuih muih dari beberapa jenis talam bersama bubur pulut hitam dan buah oren disaji sebagai pencuci mulut. Pilihan makanan ringan ialah mee rebus daging yang enak dari Kampung Melayu. Aiskrim kon berperisa vanila dan coklat juga turut disajikan.

Acara bersanding mengikut jadual pada pukul 12.30 tengahari diserikan lagi dengan acara merenjis bunga rampai sebagai acara perkenalan dengan pengantin. Untuk melayani anak-anak kecil, diadakan acara membaling gula-gula yang dilekatkan duit syiling. Bukan main seronok mereka kutip lolipop beramai-ramai🤭 walau cuma ada tepekan syiling 0.50 dan 0.20 sahaja.

Majlis bersambung dengan makan beradab bersama keluarga pihak pengantin perempuan yang datang dari Kuala Selangor. Pengantin juga sempat memotong kek yang dihadiahkan oleh pihak catering. Mereka turut menyantuni tetamu dari meja ke meja sambil memperkenalkan diri juga mengucapkan terima kasih di atas kesudian meraikan majlis mereka.

Muga ikatan cinta anak dan menantu kakchik berkekalan dan majlis kami diberkati Allah. Aamiin🤲🤲

Thursday 26 January 2023

Family Day di Kuala Rompin

Assalam.. muga kalian ceria bersama keluarga tersayang.

Ahad bersamaan 25.12.22 iaitu cuti hari natal. Kami mengambil kesempatan join family day sahabat sekolah TIJB suami kakchik. Alhamdulillah cuaca agak cerah walau ada sedikit mendung dan hujan  di hujung petang.

Seramai 14 orang pihak suami dan 12 orang isteri serta beberapa orang anak yang dapat turut serta. 2 orang kaum bapa ride solo menaiki motosikal dan beberapa pasangan suami dan isteri turut ride berkumpulan. Yang bawa anak-anak datang berkereta termasuk kakchik sekeluarga.

Kami tiba di Kuala Rompin Beach Resort sekitar pukul 11.30 pagi melalui Jalan Jementah dari arah Asahan. Seterusnya kami melalui pinggir bandar Segamat untuk ke Muadzam Shah dan menyusuri perkampungan orang asli sebelum tiba di Kuala Rompin.  Terdapat pasar tani yang agak besar dan luas di Bandar Kuala Rompin. Pelbagai hasil bumi dan laut yang dijual disitu. 

Banyak jenis buah-buahan dijual dan udang segar menjadi tarikan utama. Ada di antara sahabat yang turut membeli udang galah untuk di bawa pulang kerana harga yang berpatutan dan mampu milik. Mereka simpan di peti sejuk dulu sebelum di bawa pulang ke tempat masing-masing.






























Hidangan tengahari bersama semua keluarga yang hadir telah di sediakan. Selepas makan kami check in bilik hotel dan menunaikan solat sebelum bersiap ke acara berikutnya iaitu makan ikan/udang celop tepung di Pantai Penyabong, Endau. Kiranya masuk semula ke negeri Johor sebab Kuala Rompin terletak sempadan dengan Pahang-Johor. Cantik permandangan pantainya dan ramai sekali pengunjung yang membawa keluarga bersantai sambil menikmati makanan laut yang segar.

Malamnya kami berbabeque di tepi pantai. Kaum bapa yang bertungkus lumus menyediakan semua juadah hidangan. Acara bersambung dengan borak-borak santai sebelum pulang ke kamar masing-masing. Tengah malam itu hujan turun agak lebat sehingga air pasang dari laut melimpah ke tepian resort yang bertanah agak rendah.


Keesokan pagi kami beriadah di tepi pantai dan seterusnya bersarapan pagi dengan nasi lemak bersama beberapa jenis kuih muih. Aktiviti bebas seperti mandi di kolam renang atau laut hingga tiba masa untuk check out. Alhamdulillah tercipta kenangan indah serta ukhwah bersama. Terima kasih kepada semua sahabat. Ada rezeki in shaa Allah berjumpa lagi🤲🤲














Wednesday 25 January 2023

Meraikan Majlis Resepsi Anak Sahabat Sharodz

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan ketenangan sentiasa menemani kalian semua.

Sabtu bersamaan tanggal 24.12.22 kakchik sempat menghadiri majlis menyambut menantu buat sahabat, Norazila Abu Hussin di Taman Paya Rumput Perdana. Jamuan resepsi diadakan di perkarangan surau. Tahniah! Selamat pengantin baru buat kedua mempelai. Muga jodoh berpanjangan dan bahagia hingga ke jannah. Aamiin🤲🤲





Hari yang sama kami turut menerima jemputan seorang lagi sahabat Sharodz iaitu Murni binti Minhat yang sekampung dengan kakchik di Kg. Pondok Batang. Beliau menyambut dua menantu sekaligus. Tahniah! Selamat pengantin baru buat kedua-dua pasangan pengantin. Muga jodoh berkekalan dan dikurniakan anak-anak yang soleh juga yang solehah. Aamiin🤲🤲





Setelah selesai kami singgah di rumah emak kakchik yang terletak berhampiran dan tumpang bermalam di situ. Keesokan paginya selepas sarapan kami bergerak ke Kuala Rompin untuk menghadiri hari keluarga bersama sahabat sekolah suami kakchik. Syukur alhamdulillah.