Tuesday 31 January 2023

Majlis Sambut Menantu @31.12.22

Assalam. Muga kalian beroleh ketenangan dan ceria bersama keluarga tersayang.

Hari terakhir pada tahun 2022 iaitu 31.12.2022 bersamaan hari Sabtu telah dipilih sebagai hari istimewa menyambut menantu iaitu isteri kepada anak sulung kami Muhammad Danial dan pasangannya Atirah Hazizi. Hari yang sangat indah dimulakan dengan acara khatamul Quran bagi anak bongsu yang darjah 6. Sepatutnya acara khatam dirancang 2 tahun lepas sempena hari lahir beliau ke 10 tahun tetapi disebabkan PKP dan Covid 19 terpaksa ditangguhkan. 




Syukur alhamdulillah Ustaz Wan Faisal yang menjadi guru beliau sudi datang untuk acara tersebut dengan diiringi beberapa orang anak ngaji yang berkesempatan bersama. Selepas bacaan akhir surah-surah pendek dan doa khatam serta doa selamat, sedikit jamuan dihidangkan. Berkat pulut kuning bersama rendang ayam & bunga telur diberi sebagai buah tangan tradisi.

Seterusnya majlis kami pun bermula dengan ketibaan keluarga terdekat dan jiran-jiran serta sahabat dekat dan jauh. Cuaca yang cerah berangin membuatkan kami rasa sangat bersyukur kerana telah mempermudahkan urusan kami.

Tetamu dihidangkan dengan nasi beriyani berlaukkan daging masak beriyani, ayam masak merah, jelatah dan kari kambing. Nasi putih juga disediakan sebagai pilihan. Kuih muih dari beberapa jenis talam bersama bubur pulut hitam dan buah oren disaji sebagai pencuci mulut. Pilihan makanan ringan ialah mee rebus daging yang enak dari Kampung Melayu. Aiskrim kon berperisa vanila dan coklat juga turut disajikan.

Acara bersanding mengikut jadual pada pukul 12.30 tengahari diserikan lagi dengan acara merenjis bunga rampai sebagai acara perkenalan dengan pengantin. Untuk melayani anak-anak kecil, diadakan acara membaling gula-gula yang dilekatkan duit syiling. Bukan main seronok mereka kutip lolipop beramai-ramai🤭 walau cuma ada tepekan syiling 0.50 dan 0.20 sahaja.

Majlis bersambung dengan makan beradab bersama keluarga pihak pengantin perempuan yang datang dari Kuala Selangor. Pengantin juga sempat memotong kek yang dihadiahkan oleh pihak catering. Mereka turut menyantuni tetamu dari meja ke meja sambil memperkenalkan diri juga mengucapkan terima kasih di atas kesudian meraikan majlis mereka.

Muga ikatan cinta anak dan menantu kakchik berkekalan dan majlis kami diberkati Allah. Aamiin🤲🤲

No comments:

Post a Comment