Sunday 30 April 2023

Si Bongsu Daftar Masuk Sekolah Berasrama @ 27.3.23

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang dapat memberi ketenangan buat kita semua.

Syukur alhamdulillah anakanda kakchik telah mendapat tawaran untuk naik ke tingkatan satu di Sekolah Berasrama Penuh (Integrasi) Selandar. Sekolah tersebut juga bermodelkan Tahfiz Ulul Albab (TMUA).  Kami panjatkan setinggi-tinggi syukur pada Nya dengan nikmat dan peluang yang diberikan buat puteri bongsu yang memang meminati bidang tahfiz.

Kami bergerak awal subuh  pada tanggal 27.3.23 iaitu hari Isnin menuju ke Selandar bagi tujuan pendaftaran dan seterusnya sessi taklimat ibubapa/penjaga yang akan berlangsung hingga ke tengahari.

Setelah tamat sessi taklimat pelajar dan ibubapa dibenarkan membuat aktiviti bebas hingga jam 5.00 petang. Kami mengambil kesempatan tersebut untuk melawat mak kakchik di kampung yang terletak di dalam daerah yang sama. Si bongsu seronok dapat berjumpa nenek dan nenek juga rasa teruja kerana cucu bongsunya dapat sambung belajar di sekolah tahfiz.

Muga Arisya dapat menyesuaikan diri dengan kawan-kawan dan semua kakak senior di asrama juga di sekolah. Aamiin 🤲





Hari Lahir Risya Yang Ke 13 Tahun

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera dan ceria di bulan Syawal yang mulia ini. Kakchik mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin".

Tanggal 27.3.23 bersamaan dengan hari Isnin ialah hari ulangtahun kelahiran anak bongsu kakchik si Risya. Syukur alhamdulillah begitu pantas masa berlalu dan si comel telah membesar menjadi remaja.

Oleh kerana ulangtahunnya di bulan puasa yang penuh berkat, jadi kami telah membuat sedikit sambutan bagi meraikannya pada hari ahad semasa berbuka puasa. Acara sambutan keluarga sahaja kerana esoknya beliau akan mendaftar di sekolah menengah dan tinggal di asrama.

Muga anak mama menjadi anak yang solehah dan berbakti kepada semua. Aamiin🤲🤲




Saturday 1 April 2023

Si Bongsu Temuduga SBP Tahfiz Selandar

Assalam. Muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagiaan buat kita semua. In sha Allah.

Kakchik kongsikan kisah menghantar anak untuk temuduga TMUA iaitu Tahfiz Model Ulul Albab yang bertempat di SBP Integrasi Selandar. Permulaan cuti semester akhir Tahun 6 anakanda bongsu kami mendapat khabar gembira dengan panggilan telefon dari pihak sekolah iaitu SBP Selandar untuk beliau menghadiri temuduga Tahfiz bertarikh 1.3.23 bersamaan dengan hari Rabu. Pada hari kejadian kami berpagian telah menemani anakanda untuk tujuan tersebut.

Kami singgah di stesen minyak Petronas Selandar untuk si bongsu kami menukar pakaian sekolah  iaitu uniform SLB. Jadual temuduganya pada pukul 9.30 pagi bermula dengan pendaftaran. Semasa pendaftaran anak-anak dibahagi kepada dua kumpulan. Seterusnya mereka akan melalui 3 bahagian ujian iaitu ujian hafazan, bertulis iaitu menulis semula ayat Al-Quran dan bacaan tilawah.  Masing-masing di dalam satu group tersebut mengikut turutan diberikan satu mukasurat untuk dihafaz dalam tempoh masa selama 30 minit.

Setelah tamat tempoh yang diberi, anak-anak dibawa ke bilik tayang untuk menduduki ujian menulis semula ayat-ayat yang ditayang dalam tempoh 5 minit sahaja. Seterusnya peserta akan  mengikut giliran untuk ditemuduga oleh panel ustaz dimulai dengan hafazan. Tilawah akan diberi mukasurat yang lain dan perlu dibaca dengan tajwid yang betul.

Selepas itu panel akan menyentuh soalan berkenaan akademik juga kor kurikulum dan keluarga untuk melihat sejauh mana minat dan kecenderungan calon yang bakal menjadi pelajar tahfiz TMUA di SBP mereka. Keputusan ujian temuduga akan keluar seiring dengan pengumuman SBP iaitu pada 17.3.23.

Setelah temuduga berakhir kami melawat kakngah iaitu kakak kedua kakchik di rumah baru beliau di Jalan Sialang, Tangkak. Kami gerak pulang ke JB pada petang itu juga setelah berehat sebentar di rumah ngah. Syukur alhamdulillah Allah permudahkan urusan kami sekeluarga.