Wednesday, 13 January 2021

PKP 2021 Dari 13.1.21 ~ 26.1.21

Assalam.. muga kalian baik-baik sahaja walau di musim tengkujuh yang menyukarkan sedikit pergerakan. Muga mangsa banjir dipermudahkan urusan mereka dan segala kerugian yang mereka alami Allah gandakan rezeki kerana kesabaran juga pengorbanan mereka. Insya Allah.

Petang isnin yang lalu segala teka teki berkenaan PKP terjawab apabila Perdana Menteri kita mengumumkan bahawa PKP akan berkuatkuasa mulai jam 12.01 tengah malam hari rabu 13.1.21 selama dua minggu sehingga 26.1.21 bersamaan hari selasa.



Negeri yang terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ialah Pulau Pinang, Selangor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, WP Labuan, Johor, Sabah dan Melaka. Negeri yang lain masih ada yang berstatus PKPD, PKPB atau PKPP. Pergerakan merentas negeri tidak dibenarkan bagi semua negeri dan untuk negeri yang berstatus PKP, merentas daerah juga tidak dibenarkan.

Kes Covid-19 semakin meningkat dan difahamkan semua hospital dipenuhi pesakit. Ada juga pesakit yang positive tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala terpaksa kuarantin sendiri. Hospital mengutamakan pesakit bergejala dan dari kalangan warga emas. Pelbagai kluster timbul disebabkan kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai yang ambil lewa SOP yang ditetapkan bagi membendung pandemik Covid 19.




Anak-anak sekolah akan mulai naik belajar bagi tahun 2021 pada tarikh 20.1.21 seperti yang ditetapkan sebelum ini. Ianya merupakan pembelajaran secara dalam talian di rumah bagi murid tahun 1 hingga ke tingkatan 4. Calon SPM 2020 dan SPM 2021 sahaja yang akan belajar secara bersemuka dengan SOP diperketatkan.

Harapnya anak-anak dapat belajar walau dalam apa jua keadaan. Muga musibah demi musibah dapat kita semua tempuhi dengan penuh kesabaran. Aamiin

Friday, 25 December 2020

Hari Anugerah Cemerlang 2019

Assalam.. muga kalian berada di bawah lindungan Nya dan berbahagia bersama keluarga tercinta.

Tanggal 7.12.2020 sekolah agama anak bongsu kakchik telah mengadakan hari penyampaian sijil dan hadiah kecemerlangan bagi tahun lepas iaitu 2019. Majlis yang biasa berlangsung pada pertengahan tahun telah ditangguhkan begitu lama kerana pendemik Covid 19. 

Acara pada tahun ini mengikut SOP dan norma baru. Hanya murid dan seorang penjaga yang hadir, disaring dan disahkan kedatangan seterusnya ke kaunter sijil dan hadiah. Pelajar boleh mengambil photo sebagai kenangan di pentas ringkas yang disediakan.

Tahniah Arisya si comel mama. Muga terus cemerlang dan menjadi anak yang solehah. Keep it up!



Alhamdulillah.. muga dikurniakan kebaikan di atas ilmu yang telah dituntut. Syukran kepada semua tenaga pendidik SATU. Jazakumullahu khairan kathira.

Friday, 18 December 2020

Tempahan Beg Crochet

Assalam.. muga kalian semua sihat dan baik-baik sahaja di dalam mengharungi kehidupan norma baharu. Kita belum menang lagi dan masih meneruskan perjuangan hidup dengan pandemik Covid 19 yang semakin bertaburan di sekeliling kita.

Sebelum tahun 2020 melabuhkan tirai penamatnya kakchik kongsikan hasil crochet kakchik kali ini iaitu beg sandang berbentuk bulat dan yang segiempat. Kakchik menggunakan benang jenis nylon kali ini kerana ianya tahan lama dan tidak berbulu.





Beg yang segiempat ditempah oleh kawan sekolah kakchik dan yang bulat pula oleh adik ipar. Seronok tengok mereka menggayakan hasil tangan kakchik yang tidak seberapa ini.


Adik ipar menggayakan beg crochet bulat ketika aktiviti membeli belah. Muga kakchik dapat mengait lebih baik lagi pada masa akan datang dengan tunjuk ajar kelas secara online. Insya Allah.

Friday, 27 November 2020

PKPB 9.11.2020 - 6.12.2020

Assalam.. muga hidup kita lebih baik dari yang semalam dan hari-hari mendatang.

Berikutan kes pandemik Covid 19 yang semakin teruk, pihak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) mulai dari 9.11.2020 hingga 6.12.2020 kepada semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis,  Kelantan dan Pahang.

Sebelum ini negeri Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta Putrajaya telah pun sebulan menjalani PKPB disebabkan kes Covid 19 yang meningkat di tempat mereka.



Berdasarkan rekod pada tarikh 6.11.2020 maka langkah-langkah pencegahan telah diambil untuk kebaikan semua pihak. Anak-anak pun tidak bersekolah dan mulai belajar secara di dalam talian. Tarikh penting persekolahan berubah di akhir tahun 2020 dan pada awal tahun 2021. 

Setelah 2 minggu menjalani tempoh PKPB dan perayaan Deepavali telah berakhir, beberapa negeri diumumkan tamat PKPB dan berbalik pada PKPP seperti sebelumnya kerana kes Covid 19 yang terkawal. Negeri tersebut ialah Melaka, Trengganu dan sebahagian negeri Johor. Negeri Johor pula ada dua daerah yang masih menjalani PKPB iaitu Kota Tinggi dan Mersing. Urusan untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Deepavali kakchik tergendala kerana larangan merentas negeri. Insya Allah minggu ini kami akan pulang melawat emak di Melaka.

Negeri Kelantan pula menjalani PKPB mulai 21.11.2020 bersama dengan negeri-negeri lain yang belum melepasi tahap rekod yang memuaskan.

Sunday, 1 November 2020

Hasil Crochet Kakchik

Assalam.. muga kalian dapat meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini dengan tenang serta berfikiran positif.

Hobi mengait masih kakchik teruskan dengan mengambil tempahan beberapa jenis beg bekal, beg botol air, sarung kotak tisu dan beg sling yang mudah. 

Kali pertama kakchik mengait sarung tisu atau dikenali dengan tbc (tissue box cover) ini amat mengujakan. Kakchik memilih paten kulit buaya kerana ia nampak kemas dan menarik. Sebenarnya ada pelbagai paten TBC termasuklah yang berbunga-bunga cantik tetapi kakchik tidak berapa rajin untuk mengaitnya. 




Begitu juga dengan beg botol air yang 1 liter dan 750 ml ini, kakchik memilih paten kulit buaya dan strawberi. Masing-masing merupakan kali pertama kakchik mengait untuk tempahan rakan-rakan terdekat. Agak sukar untuk mengait pada mulanya, ianya menjadi lebih mudah setelah mendapat rentak dan semangat untuk menyiapkannya. 



Beg bekal pula kakchik cuba kait dengan berpandukan video Youtube.  Banyak pilihan paten, kakchik pilih mengikut saiz yang rakan kakchik kehendaki iaitu saiz 23 x 14 cm bekas makanan. 




Beg buku tambahan anak bongsu yang berumur 10 tahun ini kakchik kaitkan mengikut paten beg telekung khas buatnya yang sangat teruja apabila melihat kakchik mengait. Dapatlah beliau bawa ke sekolah sebelum sekolah ditutup bagi tahun 2020 ini. 


Kakchik kait juga beg sling yang ringkas untuk kegunaan sendiri. Walaupun ianya tidaklah semahal beg kulit tetapi nilai seni kaitan sendiri menyebabkan kakchik bangga menggunakannya. 


Terima kasih kepada sahabat dan rakan-rakan yang sudi menempah barangan kait kakchik. Sebahagian dari kutipan hasil kait telah dan akan kakchik kongsikan bersama orang-orang terdekat yang memerlukan. Muga sedikit sumbangan dapat menggembirakan mereka. Insya Allah. 

Saturday, 31 October 2020

Aidil buat braces di KK Tmn U

Assalam.. muga kalian ceria bersama keluarga tersayang.

Seperti yang telah kakchik kongsi pada slot sebelum ini tentang masalah gigi taring anak kakchik yang tumbuh di lelangit, janji temu bagi 4 minggu berturut-turut telah di susun oleh pihak klinik. Doktor pakar menasihati kami untuk hadir ikut tarikh yang ditetapkan agar proses menjalan lancar. 

Janji temu yang pertama setelah membuat mould gigi ialah meletak getah di celah-celah tiap gigi geraham belakang untuk tujuan memberi ruang dan memudahkan besi penahan dipasang nanti.

Seminggu berikutnya janji temu untuk cabutan dua gigi geraham pertama sebelah kiri. Akar gigi yang dicabut agak melentik.



Minggu seterusnya janji temu untuk cabutan gigi geraham kanan sebelah atas pula. Ketika itu besi penahan dipasang di geraham kiri dan kanan sebelah atas. Mulanya anak kakchik berasa tidak selesa dan hanya ambil makanan lembut seperti bubur dan roti yang dicicah air milo sahaja. 

Pada minggu berikutnya janji temu untuk memasang pendakap gigi atas dan bawah. Setelah dipasang oleh doktor pakar, staff nurse memberi penjelasan cara-cara penjagaan gigi yang telah dipasang pendakap. Aidil perlu menggunakan ubat gigi yang memulih kesihatan gusi dan berus gigi khas untuk orthodontik. Kakchik membelinya di farmasi yang berdekatan. 

Harga untuk rawatan pendakap gigi bergantung kepada kerjaya ibubapa samada kakitangan kerajaan atau swasta.  Disini kakchik paparkan harga untuk yang bekerja swasta ye. So minggu ketiga kakchik perlu menjelaskan bayaran RM100 untuk besi penahan dan minggu berikutnya sebanyak RM1,000 untuk kos pemasangan pendakap. Lain-lain bayaran ditangguhkan hingga tiba masa yang diperlukan. Bayaran RM5 rawatan pakar adalah percuma kerana Aidil membawa surat akuan pihak sekolah. Syukur alhamdulillah. 

Wednesday, 30 September 2020

Ambil Kunci Rumah Durian Tunggal

Assalam... muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari mendatang menjanjikan kebahagiaan buat kalian semua. PKPP masih berjalan hingga 31.12.2020, jadi kita mesti jaga jarak dan sentiasa amalkan norma baharu dan 3W di dalam menjalani kehidupan seharian.

Rumah teres yang kakchik tempah 2 tahun yang lepas telah pun siap semasa di dalam tempoh PKP fasa 1 lagi. Lokasi rumah ialah di Durian Tunggal, Melaka. Surat notis pengambilan kunci diedarkan semasa negara di dalam tempoh PKPP dan kakchik telah membuat janjitemu pada hari sabtu 1.8.2020 untuk tujuan itu.

Setelah mendapat kunci dan segala dokumen berkaitan kakchik pun menguruskan untuk daftar masuk api dan air bagi kemudahan kami apabila pulang ke Melaka nanti. 





Kakchik sedang menunggu masa cuti yang sesuai untuk memasang lampu dan membawa masuk beberapa perabut utama yang menjadi keperluan mengikut bajet kami yang sederhana sahaja. Muga urusan kakchik sekeluarga dipermudahkan. Aamiin

Hiking di Gunung Pulai

Assalam... muga kalian dikurniakan kesihatan yang baik dan ceria bersama keluarga tercinta. 

Tarikh 12.9.2020 bersamaan hari sabtu kakchik sekeluarga beriadah di kawasan kejiranan berhampiran iaitu Gunung Pulai. Ketinggiannya cuma 600 meter dan dijangka mengambil masa selama 3 jam untuk menawan puncaknya dengan perjalanan santai.

Orang agak ramai pada hujung minggu ni, kami terpaksa pakir kereta di kawasan yang jauh dan kemudiannya memulakan larian anak.







Kakchik berpasangan dengan si bujang kecil dan suami pula melayan kerenah si bongsu. Kami berpecah di tengah pendakian. Terdapat laluan kedua untuk pendaki yang pro iaitu di hutan pelajaran. Laluan tersebut agak mencabar katanya.



Kakchik meneruskan pendakian yang agak curam dan meletihkan itu bersama si bujang hingga suku ketiga laluan si bujang terpaksa berhenti kerana keletihan. Kakchik terus berjuang sendirian hingga bertemu sekumpulan pelajar yang menuju matlamat yang sama. Syukur kerana mendapat teman. Depan sekali di dalam photo ialah Aisyah, murid tahun 5 SK Sg Danga. Mereka bertiga pada hari itu ialah kenalan dari kecil kerana ibubapa mereka rakan setugas iaitu guru.

Kami berempat meneruskan pendakian yang bertambah cabarannya iaitu hujan hingga sampai ke puncak. Di dalam kesejukan kami gembira kerana telah menyelesaikan misi pada pagi itu. Setelah mengambil beberapa photo, kumpulan kami pun turun menggunakan laluan yang sama. Walaupun perjalanan turun agak mudah tetapi kena berhati-hati dengan jalan yang licin dan lopak air yang agak dalam.







Sampai sahaja di bawah kami terus ke medan selera yang terdapat di situ. Sedap dan enak menu yang dimasak, sangat berselera kami makan. 

Untuk sesiapa yang ingin melakukan aktiviti mendaki boleh pergi awal kerana taman rimba dibuka dari pukul 6.00 pagi. Bayaran pakir kereta dikenakan sebanyak RM3 dan kalian boleh pakir  di mana-mana rumah penduduk kampung dengan hanya memberi tiket pakir yang telah dibayar.  Muga info dari kakchik bermanfaat untuk semua. 

Tuesday, 1 September 2020

Sambutan Tahun Baru 1442 Hijrah

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari semalam dan kalian sentiasa ceria bersama keluarga tersayang.

Tahun baru 1442 Hijrah kakchik sambut bersama beberapa orang jamaah surau pada petang rabu 19.8.2020. Majlis dimulai dengan bacaan doa akhir tahun 1441 Hijrah dan kemudiannya solat maghrib berjamaah. Selepas itu disusuli oleh bacaan doa awal tahun dibacakan.

Perasaan sebak tidak dapat kakchik tahan kerana inilah kali pertama kakchik jejakkan kaki ke surau untuk majlis ilmu selepas tempoh PKP. Seronok juga bertemu ahli helwa yang lain. 


Acara berikutnya ialah ceramah Maal Hijrah yang disampaikan oleh Ustaz Nazri dari Pejabat Agama Johor Bahru. Sangat menarik penyampaian ceramah beliau.

Solat isyak berjamaah disempurnakan selepas habis ceramah dan acara penutup ialah jamuan makan. Enak sekali masakannya. Muga setiap dari kita dapat menghayati makna hijrah yang sebenar dan dapat mengamalkan cara Islam di dalam kehidupan.


Wednesday, 26 August 2020

Selamat Tinggal Exora JPF

Assalam... muga kalian ceria menempuh hari-hari dengan kehidupan norma baharu.

Minggu kedua Ogos 2020 hubby kakchik telah iklankan kereta Exora untuk dijual berikutan beliau telah membeli kereta lain yang lebih ekonomi. Sambutan agak menggalakkan iaitu beberapa orang dari daerah Kota Tinggi yang berminat untuk membeli secara tunai. Ada juga wakil penjual kereta terpakai yang menawarkan harga berpatutan. 

Kami terpaksa menjual kereta secara sendiri kerana harga trade in yang ditawarkan oleh pihak tertentu terlalu rendah dan agak tidak masuk akal. Setelah beberapa pembeli datang untuk view dan test drive kereta kakchik maka kakchik pun mula menghantar email kepada pihak HP bank untuk mendapatkan geran. Tujuannya untuk membawa kereta mendapatkan pemeriksaan Puspakom. Syarat untuk menjual kereta terpakai perlukan begitu. Bayaran RM22 dikenakan dan jika perlu di korier ke cawangan bank berdekatan, maka kos RM10 perlu dibayar.

Seterusnya kakchik email kepada pihak finance untuk dapatkan penyata terkini bagi penjelasan penuh. Ini juga memerlukan bayaran RM22 ye. Kakchik akhirnya memilih untuk menjual kepada pihak penjual kereta terpakai di Skudai kerana ianya lebih mudah. Cuma bawa geran dan kad pengenalan untuk buat pengesahan hakmilik setelah rundingan harga. Emailkan penyata terkini untuk full settlement dan dalam tempoh seminggu dapat baki payment selepas tolak baki hutang di bank.


Jasamu dikenang

Sayang kamu yang berusia 7 tahun.

Urusan pembatalan insurance hanya boleh dibuat setelah e-batal dari pihak bank diperolehi oleh penjual kereta terpakai. Ianya boleh dibuat oleh owner sendiri atau runner dengan bayaran tertentu.

Mudah juga urusan jualannya, rugi jika terima tawaran harga masa trade in yang terlalu rendah dulu. Ramai yang nak ambil untung atas angin tanpa usaha. Kakchik mencuba dengan bantuan hubby. Terima kasih abang.

Saturday, 1 August 2020

Salam Aidil Adha 2020

Assalam.. muga kalian sentiasa ceria bersama yang tersayang.

Aidil adha pada tahun ini jatuh pada tanggal 31.7.2020 bersamaan dengan hari jumaat. Hanya 8 orang rakyat Malaysia yang berpeluang mengerjakan ibadah haji pada tahun ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Mereka insan terpilih yang menetap di Arab Saudi.

Kakchik dan keluarga merayakan raya qurban kali ini di kampung bersama ibu tersayang.