Monday 31 July 2023

PAPA NAZAR BOTAKKAN KEPALA UNTUK AIDIL

Assalam.. muga hari ini lebih bermakna buat kita semua berbanding dari hari semalam yang telah pun berlalu. Muga hari yang bakal tiba jua menjanjikan kebahagiaan buat kita. In shaa Allah🤲

Suami kakchik telah bernazar untuk membotakkan kepala demi kesembuhan anak ke3 kami iaitu anakanda Aidil yang mengidap sakit "anxiety". Penyakitnya itu terkena akibat di buli semasa tinggal di asrama ketika di tingkatan 1 pada tahun 2020. Walaupun telah berhenti dari Institusi tersebut dan bertukar ke sekolah harian beberapa tahun yang lalu namun anakanda kami masih menderita penyakit tersebut hingga beliau tidak boleh ke sekolah dan bercampur dengan pelajar yang lain.

Buat masa ini beliau dinasihatkan oleh pihak sekolah agar "home school" dan masih meneruskan rawatan bersama pakar remaja. Hanya hari peperiksaan sahaja beliau akan hadir menduduki di sekolah iaitu di bilik khas bagi pelajar yang sakit.

Bagi melunaskan hajat tersebut, suami kakchik telah membotakkan kepalanya beberapa hari selepas menyambut Hari Raya Haji baru-baru ini. Muga hajatnya kesampaian dan anakanda Aidil beroleh kesembuhan. Aamiin🤲

PULANG BERMALAM SBPI SELANDAR

Assalam.. muga kalian sentiasa berada dibawah rahmat lindungan Allah.

Pada tanggal 28.7.23 iaitu hari Jumaat yang lalu, pihak sekolah membenarkan semua pelajar pulang bermalam ke rumah masing-masing.


Bagi pelajar anak-anak Johor, mereka pulang dengan menaiki bas yang disewa khas oleh wakil ibubapa. Jutaan terima kasih kepada Puan Nor Fasiha Mohd Yusof yang merupakan seorang pensyarah di UTM Skudai di atas jasanya. Beliau menguruskan penyewaan bas dan senarai pelajar yang menjadi penumpang. Biasanya sewaan bas berkapasiti 44 tempat penumpang berharga RM1,100 dan jumlah itu akan dibahagikan sama rata dengan jumlah sebenar pelajar yang menjadi penumpang. Contohnya jumlah 35 penumpang, harga setiap orang perlu bayar ialah RM31.40/orang dan ini akan dibayar oleh ibubapa melalui akaun bank Puan Fasiha sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya membayar kepada syarikat bas.

Jam 12 tengahari bas yang berkenaan telah siap sedia menunggu pelajar habis sesi pembelajaran dan jika semua pelajar di dalam senarai telah cukup, bas akan bergerak sekitar jam 12.30 tengahari menuju ke selatan tanah air. Pemandu yang bertugas akan dimasukkan secara sementara ke dalam group ibubapa JB untuk memudahkan beliau mengaktifkan "live location" sebagai panduan kepada semua ibubapa. 

Biasanya hentian pertama ialah tol Yong Peng Utara, seterusnya beberapa lagi hentian seperti Air Hitam, Sedenak, Kulai dan keluar di tol Skudai. Bagi pelajar Daerah Johor Bahru hentian di Padang Kawad UTM. Bas berakhir di hentian Pasir Gudang iaitu di Masjid Taman Scientex. Begitu juga dengan perjalanan kembali ke asrama, dengan mengikuti prosedur yang sama dari Pasir Gudang seterusnya sampai ke SBPI, Selandar.

Syukur alhamdulillah anak-anak gembira menaiki bas untuk bertemu keluarga tercinta. 

Thursday 20 July 2023

Musim Buah Kristal di Sarawak

Assalam.. muga rezeki kalian melimpah ruah dan sentiasa dikelilingi dengan insan yang berhati mulia. Aamiin.

Kakchik kongsikan kali ini mengenai buah kristal yang agak jarang kita temui. Terdapat dua variasi buah kristal iaitu yang kulitnya berwarna hijau dan yang berwarna hitam. Kedua-duanya rasa manis dan berjus. Meskipun yang hijau ini kulitnya penuh jeragat berbintik-bintik, namun rasa dia lebih sedap👍🏻😋




Sahabat kakchik yang tinggal di Kuching telah  pergi ke Pasar Ahad (Sunday Market), beliau dapati banyak buah kristal. Harga yang ditawarkan dari rm10 - rm13 per kilogram. Beliau telah membeli sebanyak 2kg, walaupun hanya dirinya seorang yang gemar menikmati buah tersebut. Manakala suami dan anak bongsunya hanya menjamah 3-4 biji sahaja. Terima kasih sahabat telah berkongsi cerita buah-buahan dari Bumi Kenyalang.