Monday 31 July 2023

PULANG BERMALAM SBPI SELANDAR

Assalam.. muga kalian sentiasa berada dibawah rahmat lindungan Allah.

Pada tanggal 28.7.23 iaitu hari Jumaat yang lalu, pihak sekolah membenarkan semua pelajar pulang bermalam ke rumah masing-masing.


Bagi pelajar anak-anak Johor, mereka pulang dengan menaiki bas yang disewa khas oleh wakil ibubapa. Jutaan terima kasih kepada Puan Nor Fasiha Mohd Yusof yang merupakan seorang pensyarah di UTM Skudai di atas jasanya. Beliau menguruskan penyewaan bas dan senarai pelajar yang menjadi penumpang. Biasanya sewaan bas berkapasiti 44 tempat penumpang berharga RM1,100 dan jumlah itu akan dibahagikan sama rata dengan jumlah sebenar pelajar yang menjadi penumpang. Contohnya jumlah 35 penumpang, harga setiap orang perlu bayar ialah RM31.40/orang dan ini akan dibayar oleh ibubapa melalui akaun bank Puan Fasiha sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya membayar kepada syarikat bas.

Jam 12 tengahari bas yang berkenaan telah siap sedia menunggu pelajar habis sesi pembelajaran dan jika semua pelajar di dalam senarai telah cukup, bas akan bergerak sekitar jam 12.30 tengahari menuju ke selatan tanah air. Pemandu yang bertugas akan dimasukkan secara sementara ke dalam group ibubapa JB untuk memudahkan beliau mengaktifkan "live location" sebagai panduan kepada semua ibubapa. 

Biasanya hentian pertama ialah tol Yong Peng Utara, seterusnya beberapa lagi hentian seperti Air Hitam, Sedenak, Kulai dan keluar di tol Skudai. Bagi pelajar Daerah Johor Bahru hentian di Padang Kawad UTM. Bas berakhir di hentian Pasir Gudang iaitu di Masjid Taman Scientex. Begitu juga dengan perjalanan kembali ke asrama, dengan mengikuti prosedur yang sama dari Pasir Gudang seterusnya sampai ke SBPI, Selandar.

Syukur alhamdulillah anak-anak gembira menaiki bas untuk bertemu keluarga tercinta. 

No comments:

Post a Comment