Friday 27 November 2020

PKPB 9.11.2020 - 6.12.2020

Assalam.. muga hidup kita lebih baik dari yang semalam dan hari-hari mendatang.

Berikutan kes pandemik Covid 19 yang semakin teruk, pihak kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ditukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB ) mulai dari 9.11.2020 hingga 6.12.2020 kepada semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis,  Kelantan dan Pahang.

Sebelum ini negeri Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta Putrajaya telah pun sebulan menjalani PKPB disebabkan kes Covid 19 yang meningkat di tempat mereka.



Berdasarkan rekod pada tarikh 6.11.2020 maka langkah-langkah pencegahan telah diambil untuk kebaikan semua pihak. Anak-anak pun tidak bersekolah dan mulai belajar secara di dalam talian. Tarikh penting persekolahan berubah di akhir tahun 2020 dan pada awal tahun 2021. 

Setelah 2 minggu menjalani tempoh PKPB dan perayaan Deepavali telah berakhir, beberapa negeri diumumkan tamat PKPB dan berbalik pada PKPP seperti sebelumnya kerana kes Covid 19 yang terkawal. Negeri tersebut ialah Melaka, Trengganu dan sebahagian negeri Johor. Negeri Johor pula ada dua daerah yang masih menjalani PKPB iaitu Kota Tinggi dan Mersing. Urusan untuk pulang ke kampung pada cuti perayaan Deepavali kakchik tergendala kerana larangan merentas negeri. Insya Allah minggu ini kami akan pulang melawat emak di Melaka.

Negeri Kelantan pula menjalani PKPB mulai 21.11.2020 bersama dengan negeri-negeri lain yang belum melepasi tahap rekod yang memuaskan.

Sunday 1 November 2020

Hasil Crochet Kakchik

Assalam.. muga kalian dapat meneruskan kehidupan yang serba mencabar ini dengan tenang serta berfikiran positif.

Hobi mengait masih kakchik teruskan dengan mengambil tempahan beberapa jenis beg bekal, beg botol air, sarung kotak tisu dan beg sling yang mudah. 

Kali pertama kakchik mengait sarung tisu atau dikenali dengan tbc (tissue box cover) ini amat mengujakan. Kakchik memilih paten kulit buaya kerana ia nampak kemas dan menarik. Sebenarnya ada pelbagai paten TBC termasuklah yang berbunga-bunga cantik tetapi kakchik tidak berapa rajin untuk mengaitnya. 




Begitu juga dengan beg botol air yang 1 liter dan 750 ml ini, kakchik memilih paten kulit buaya dan strawberi. Masing-masing merupakan kali pertama kakchik mengait untuk tempahan rakan-rakan terdekat. Agak sukar untuk mengait pada mulanya, ianya menjadi lebih mudah setelah mendapat rentak dan semangat untuk menyiapkannya. 



Beg bekal pula kakchik cuba kait dengan berpandukan video Youtube.  Banyak pilihan paten, kakchik pilih mengikut saiz yang rakan kakchik kehendaki iaitu saiz 23 x 14 cm bekas makanan. 




Beg buku tambahan anak bongsu yang berumur 10 tahun ini kakchik kaitkan mengikut paten beg telekung khas buatnya yang sangat teruja apabila melihat kakchik mengait. Dapatlah beliau bawa ke sekolah sebelum sekolah ditutup bagi tahun 2020 ini. 


Kakchik kait juga beg sling yang ringkas untuk kegunaan sendiri. Walaupun ianya tidaklah semahal beg kulit tetapi nilai seni kaitan sendiri menyebabkan kakchik bangga menggunakannya. 


Terima kasih kepada sahabat dan rakan-rakan yang sudi menempah barangan kait kakchik. Sebahagian dari kutipan hasil kait telah dan akan kakchik kongsikan bersama orang-orang terdekat yang memerlukan. Muga sedikit sumbangan dapat menggembirakan mereka. Insya Allah.