Tuesday, 31 October 2023

Dialog Prestasi Dan PBD SISME @ 27.10.2023

Assalam.. muga kalian beroleh ketenangan dan kebahagian bersama yang tersayang. Aamiin.

Awal subuh Jumaat yang penuh barokah kami telah bermusafir dari Johor Bahru ke Selandar, Melaka bagi tujuan menghadiri aktiviti sekolah puteri bongsu kakchik. Kami menunaikan fardhu subuh di rnr Machap dan meneruskan lagi perjalanan hingga keluar tol Tangkak. 

Kami bersarapan roti canai di warung sekitar pinggir Bandar Tangkak dan kami membungkus sarapan untuk kakngah juga si bongsu. Perjalanan diteruskan lagi dan kami singgah menurunkan perapan ayam sejukbeku, sedikit sayur juga perkakasan memasak di rumah kakngah yang terletak di Kampung Sialang.

Perjalanan kami teruskan hingga sampai ke sekolah. Ketika itu majlis pembukaan sedang berlangsung dengan penerangan dari Teacher Aziah, guru koperasi juga merupakan guru Bahasa Inggeris Arisya. Beliau menerangkan tentang sistem taksiran kepada semua ibubapa yang hadir sebelum kami semua bersurai untuk sesi dialog dengan semua guru mata pelajaran yang sedia memberikan komen juga nasihat mengenai pencapaian anak-anak.

Kakchik mulakan dengan berjumpa guru halaqah iaitu Ustazah Nor Aidah. Alhamdulillah prestasi Arisya amat menggalakkan dan telah mendapat TP 6 iaitu cemerlang untuk kedua-dua subjek Hifz Al Quran dan Maarat. Kami juga berjumpa semua guru yang mengajar si bongsu dan menerima segala komen juga pujian dengan hati yang terbuka agar anak kami terus cemerlang dunia dan akhirat. Jazakumullahu khairan kathira buat semua guru yang mendidik anak kakchik.







Sebelum zohor kakchik sekeluarga meninggalkan sekolah dan asrama dengan membawa pulang si bongsu. Kami singgah di rumah kakngah. Suami dan anak bujang kakchik ke masjid berdekatan untuk solat Jumaat dan kami menunggu mereka pulang untuk menjamu selera dengan hidangan lazat masakan kakngah. Kakchik cuma tolong rebuskan telur sahaja kerana masakan lain telah siap sedia.

Alhamdulillah terima kasih kakngah untuk masakan yang enak dan telah membungkus makanan lebihan untuk kami bawa pulang ke JB selepas solat asar petang itu. Muga Allah membalasmu dengan segala kebaikan. Aamiin🤲

Sunday, 1 October 2023

Birthday Tasya ke 25

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera bersama keluarga tersayang.

Tanggal 17.9.2023 bersamaan hari Ahad merupakan hari ulangtahun anakanda kedua kakchik si cantik manis Natasya. Kakchik doakan muga beliau dipanjangkan umur yang berkat dan berjaya di dalam kerjaya serta bertemu jodoh dengan lelaki yang bertanggungjawab. Aamiin🤲

Tahun ini kami tidak dapat menyambut bersama kerana kak Tasya tinggal di area KL. Kami hanya dapat bervideo call bersama ketika membawa adik bongsunya yang duduk asrama outing pada hari tersebut.

Sehari sebelumnya kak Tasya bermalam di rumah abang Anil dan dibelanja oleh abang dan Kak Atirah. Mereka keluar bersama Baby Adam.




Saturday, 30 September 2023

Majlis Sahabat Sharodz di Shah Alam

Assalam.. muga hari ini lebih baik & indah dari hari semalam.

Selepas lawatan ke asrama puteri bongsu, kakchik meneruskan perjalanan ke Shah Alam. Kami menginap di Seksyen 16 untuk menghadiri jemputan ke majlis kahwin di Seksyen 7. Kami terus check in di hotel bajet lewat petang itu. Hotelnya berdekatan dengan Showroom Jubin Cantik Padang Jawa.

Selepas maghrib kami ke SACC untuk mencari sedikit barang dan seterusnya makan malam sekitar kawasan Shah Alam. Alhamdulillah setelah kenyang kami balik semula ke bilik untuk istirehat. Kami tertidur lena kerana keletihan dengan perjalanan yang agak jauh.

Keesokan harinya kami bersarapan terlebih dahulu di restoran sekitar tempat penginapan. Juadah sarapan yang enak dengan harga yang berpatutan.

Kami bersiap-siap untuk ke majlis dan terus check out. Barangan kami tumpang di bilik lobi hotel. Terima kasih pekerja hotel yang sangat baik hati melayan kami. Kami mengambil grab untuk ke majlis yang agak tidak jauh.








Seronok bertemu sahabat kakchik iaitu Puan Hajah Noraida binti Ali dan suaminya Hj. Abdul Malik. Kami bukan sahaja berkawan baik di zaman sekolah tetapi kami juga jiran sekampung yang membesar bersama.

Tahniah buat kedua mereka kerana mendapat double menantu. Dua orang puteri mereka serentak bernikah, jadinya ada 2 pasangan pengantin pada majlis tersebut. Kakchik juga bertemu dengan beberapa sahabat sekolah di majlis yang sama. 

Alhamdulillah makanan yang sangat enak dan kami pulang semula ke hotel dengan ditumpangkan oleh sahabat kakchik iaitu Puan Maimunah binti Saba yang tinggal berhampiran situ. Beliau juga bertugas di Uitm Shah Alam.

Setelah menukar pakaian dengan menumpang di bilik air lobi hotel, kami ride pula ke Bangi untuk melawat anak menantu dan cucu yang menginap di pusat penjagaan berpantang. Syukur alhamdulillah menantu kakchik semakin sihat dan cucu pula telah berisi pipinya. Rasa seronok dapat bertemu mereka.

Kami cuma melawat setengah jam sahaja sebelum gerak pulang ke selatan tanahair.




Syukur alhamdulillah kami selamat sampai rumah Skudai setelah berhenti solat dan makan sekitar kawasan Air Hitam. 


Friday, 29 September 2023

Melawat Si Bongsu Di SISME

Assalam.. muga kita dapat hidup tenang dan dapat bernafas dengan udara kurniaan Ilahi. Syukur alhamdulillah.

Tanggal 12.8.2023 bersamaan dengan hari Sabtu kakchik ke Shah Alam untuk menghadiri jemputan sahabat baik di sana. Kami mulakan perjalanan dengan motorsikal dari Skudai ke Selandar, Melaka untuk melawat si puteri bongsu.





Sedikit buah tangan iaitu ayam dan kentang goreng, minuman air kotak juga buah mangga kami bawa untuk si bongsu dan kawan-kawan yang  turut berkumpul. Alhamdulillah rezeki kongsi bersama😊 Muga Allah lindungi puteri kami dan sahabat semua. Aamiin🤲

Thursday, 31 August 2023

Aktiviti Kebuniti Surau Flora @ 11.8.2023

Assalam semua. Muga yang baik-baik dan indah sahaja yang mengunjungi kehidupan seharian kita. Perkara negatif kita tolak jauh-jauh supaya tiada kenangan pahit. Tetapi selagi kita hidup sebagai seorang insan, kenangan pahit dan manis pasti akan hadir.

Tanggal 1.8.2023 bersamaan hari Jumaat yang berkat, hujan rahmat mengiringi perjumpaan kami pada pagi itu. Masing-masing membawa potluck sebagai sarapan dan juadah bagi memeriahkan lagi majlis.

Seronok kami dapat berjumpa sesekali dan cuaca yang masih gerimis menjadi penghalang untuk kami turun ke tapak semaian dan tanaman. Aktiviti memasukkan anak benih dilakukan di bawah khemah sahaja.

Kami abadikan sedikit photo sebagai kenangan bersama. Muga kebun kita semakin makmur dengan usaha semua ahli kumpulan  sekeluarga. Kami menanam beberapa jenis sayur-sayuran. 

Terima kasih kepada Puan Aida dan suaminya Cikgu Nordin selaku pihak yang mengusahakan projek kebuniti. Alhamdulillah kami dapat hadir pada jemputan kali ini. Jazakallahu khairan jazak.












Wednesday, 30 August 2023

Kelahiran Cucu Sulung Kakchik @ 25.7.2023

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari-hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagian buat kita semua. Insha Allah.

Menantu kakchik Atirah mulai keluar tanda-tanda ingin melahirkan bayi sulungnya sejak dari hari ahad @ 23.7.23 lagi. Doktor yang merawat menyarankan agar dia menunggu di rumah sehingga gesa yang kuat dan memberikan cuti sakit kepada beliau kerana bukaan baharu 1 cm. Awal dinihari selasa beliau dimasukkan ke hospital HUKM kerana gesa sakit yang kian kuat dan malamnya setelah banyak jam berlalu, beliau telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara normal.

Syukur alhamdulillah lahirnya seorang bayi yang sihat dengan berat @ 2.77kg. Kakchik bergegas ke KL dari JB dengan menaiki bas pada pagi rabu terus ke TBS. Dari situ kakchik menaiki Lrt ke hentian Salak Selatan dan anakanda Danial telah menunggu di sana. Kami terus ke hospital kerana waktu melawat telah pun bermula.

Teruja kakchik melawat menantu dan cucu pertama. Rasa bersyukur kerana kedua-dua ibu dan bayi selamat. Agak lewat petang doktor membenarkan ibu dan bayi discharge.

Gembira sungguh kami berempat iaitu Danial, Atirah, Kakchik dan Tasya membawa bayi pulang ke rumah di Queensville, Bandar Sri Permaisuri. Muga cepat sembuh buat menantu kakchik dan muga Adam Rizq menjadi anak yang soleh. Aamiin🤲 Selamat berpantang buat Atirah.














Tuesday, 29 August 2023

Qurban Kelompok Raya Haji 2023

Assalam.. muga kalian sentiasa berada di bawah lindungan Allah swt walau di mana berada.

Raya Haji pada tahun ini jatuh pada 29.6.2023 bersamaan hari Khamis. Kakchik meraikannya dengan bersolat sunat di Surau Flora berdekatan rumah. Kakchik telah membuat tempahan untuk berqurban di surau berhampiran rumah Abang Uda dan Kak Uda di Kampung Tersusun Dato Mohd Khidir, Lipat Kajang. 

Syukur alhamdulillah kami pulang ke kampung seawal pagi hari Sabtu iaitu 1.7.2023 menuju terus ke surau kerana jamuan makan tengahari sempena qurban diadakan di situ. Ramai tetamu yang telah hadir iaitu semua peserta qurban juga keluarga dan jiran-jiran berdekatan. Kakngah pun turut hadir sama.

Tahun ini merupakan tahun kedua kami menumpang qurban bersama Kak Uda. Terima kasih kepada Abang Uda yang juga Bilal surau kerana telah menguruskan acara tersebut. Tahniah kepada semua penduduk kampung kerana telah mendapat surau baru di kejiranan yang ramai warga pencen bekas kakitangan kerajaan.

Muga amalan qurban kami di terima Allah swt. Aamiin🤲







Monday, 31 July 2023

PAPA NAZAR BOTAKKAN KEPALA UNTUK AIDIL

Assalam.. muga hari ini lebih bermakna buat kita semua berbanding dari hari semalam yang telah pun berlalu. Muga hari yang bakal tiba jua menjanjikan kebahagiaan buat kita. In shaa Allah🤲

Suami kakchik telah bernazar untuk membotakkan kepala demi kesembuhan anak ke3 kami iaitu anakanda Aidil yang mengidap sakit "anxiety". Penyakitnya itu terkena akibat di buli semasa tinggal di asrama ketika di tingkatan 1 pada tahun 2020. Walaupun telah berhenti dari Institusi tersebut dan bertukar ke sekolah harian beberapa tahun yang lalu namun anakanda kami masih menderita penyakit tersebut hingga beliau tidak boleh ke sekolah dan bercampur dengan pelajar yang lain.

Buat masa ini beliau dinasihatkan oleh pihak sekolah agar "home school" dan masih meneruskan rawatan bersama pakar remaja. Hanya hari peperiksaan sahaja beliau akan hadir menduduki di sekolah iaitu di bilik khas bagi pelajar yang sakit.

Bagi melunaskan hajat tersebut, suami kakchik telah membotakkan kepalanya beberapa hari selepas menyambut Hari Raya Haji baru-baru ini. Muga hajatnya kesampaian dan anakanda Aidil beroleh kesembuhan. Aamiin🤲

PULANG BERMALAM SBPI SELANDAR

Assalam.. muga kalian sentiasa berada dibawah rahmat lindungan Allah.

Pada tanggal 28.7.23 iaitu hari Jumaat yang lalu, pihak sekolah membenarkan semua pelajar pulang bermalam ke rumah masing-masing.


Bagi pelajar anak-anak Johor, mereka pulang dengan menaiki bas yang disewa khas oleh wakil ibubapa. Jutaan terima kasih kepada Puan Nor Fasiha Mohd Yusof yang merupakan seorang pensyarah di UTM Skudai di atas jasanya. Beliau menguruskan penyewaan bas dan senarai pelajar yang menjadi penumpang. Biasanya sewaan bas berkapasiti 44 tempat penumpang berharga RM1,100 dan jumlah itu akan dibahagikan sama rata dengan jumlah sebenar pelajar yang menjadi penumpang. Contohnya jumlah 35 penumpang, harga setiap orang perlu bayar ialah RM31.40/orang dan ini akan dibayar oleh ibubapa melalui akaun bank Puan Fasiha sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya membayar kepada syarikat bas.

Jam 12 tengahari bas yang berkenaan telah siap sedia menunggu pelajar habis sesi pembelajaran dan jika semua pelajar di dalam senarai telah cukup, bas akan bergerak sekitar jam 12.30 tengahari menuju ke selatan tanah air. Pemandu yang bertugas akan dimasukkan secara sementara ke dalam group ibubapa JB untuk memudahkan beliau mengaktifkan "live location" sebagai panduan kepada semua ibubapa. 

Biasanya hentian pertama ialah tol Yong Peng Utara, seterusnya beberapa lagi hentian seperti Air Hitam, Sedenak, Kulai dan keluar di tol Skudai. Bagi pelajar Daerah Johor Bahru hentian di Padang Kawad UTM. Bas berakhir di hentian Pasir Gudang iaitu di Masjid Taman Scientex. Begitu juga dengan perjalanan kembali ke asrama, dengan mengikuti prosedur yang sama dari Pasir Gudang seterusnya sampai ke SBPI, Selandar.

Syukur alhamdulillah anak-anak gembira menaiki bas untuk bertemu keluarga tercinta. 

Thursday, 20 July 2023

Musim Buah Kristal di Sarawak

Assalam.. muga rezeki kalian melimpah ruah dan sentiasa dikelilingi dengan insan yang berhati mulia. Aamiin.

Kakchik kongsikan kali ini mengenai buah kristal yang agak jarang kita temui. Terdapat dua variasi buah kristal iaitu yang kulitnya berwarna hijau dan yang berwarna hitam. Kedua-duanya rasa manis dan berjus. Meskipun yang hijau ini kulitnya penuh jeragat berbintik-bintik, namun rasa dia lebih sedap👍🏻😋




Sahabat kakchik yang tinggal di Kuching telah  pergi ke Pasar Ahad (Sunday Market), beliau dapati banyak buah kristal. Harga yang ditawarkan dari rm10 - rm13 per kilogram. Beliau telah membeli sebanyak 2kg, walaupun hanya dirinya seorang yang gemar menikmati buah tersebut. Manakala suami dan anak bongsunya hanya menjamah 3-4 biji sahaja. Terima kasih sahabat telah berkongsi cerita buah-buahan dari Bumi Kenyalang.



Friday, 30 June 2023

Ulang Tahun Kelahiran Suami Kakchik 30 Mei

Assalam. Muga kebahagiaan sentiasa mengiringi kalian walau  di mana pun berada.

Tanggal 30.5.2023 bersamaan hari Selasa merupakan hari ulangtahun kelahiran cinta hati kakchik yang ke 53 tahun. Syukur alhamdulillah muga dipanjangkan usia yang berkat, dikurniakan kesihatan yang baik dan diluaskan rezeki dari pelbagai sudut. Aamiin🤲




Kami meraikan secara sederhana di sebuah restoran makanan Korea bersebelahan Plaza Angsana, Johor Bahru.  Syukur alhamdulillah si bongsu kakchik pun dapat turut serta kerana sedang cuti penggal persekolahan. 

Enak juga rasa ayam goreng Korea yang disalut bersama bijan. Sesekali tukar selera supaya tidak jemu dengan makanan yang sama. Terima kasih birthday boy yang telah berbelanja untuk kami semua.














Ulangtahun Kelahiran Kakchik 9.5.2023

Assalam. Muga kalian semua ceria mengharungi hidup  bersama keluarga tercinta.

Tanggal 9 May merupakan ulangtahun kelahiran kakchik. Alhamdulillah kami sekeluarga meraikan secara sederhana di sebuah restoran sekitar Johor Bahru pada petang itu.


Turut serta bersama kami ialah ayah mentua. Terima kasih kepada suami dan anak-anak yang membeli kek juga hadiah sebagai kejutan pada hari istimewa mamanya. Muga bertambah luas rezeki kalian. Aamiin🤲





Thursday, 29 June 2023

Selamat Jalan ke Negeri Abadi Moksu

Assalam semua. Muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan kita sentiasa di bawah lindungan Allah.

Jam 2 petang tanggal 2 Jun 2023 bersamaan hari Jumaat, kakchik mendapat khabar sedih yang moksu telah menghembuskan nafas terakhir di dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah. Arwah baru saja discharge pada petang semalam setelah lebih seminggu operasi jantung dan berehat sementara di rumah anaknya iaitu sepupu kakchik di sekitar Johor Bahru.

Menurut Nisah, emaknya mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital dengan segera. Namun Allah lebih sayangkan moksu. Urusan post mortem dijalankan oleh pihak hospital dan agak lewat juga jenazah dimandi serta dikafankan. Selepas solat, jenazah dibawa pulang ke rumah arwah di Kampung Pondok Batang, Melaka.

Saudara mara dekat dan jauh telah berkumpul dari petang lagi. Oleh kerana lalu lintas yang sangat jem pada petang Jumaat itu, perjalanan mengambil masa lebih lama untuk sampai ke kampung sekitar jam 10.30 malam.

Penghormatan terakhir buat moksu oleh anak-anak, adik beradik, anak-anak saudara, jiran tetangga serta rakan kerja  sebelum disolatkan beramai-ramai sekali lagi. Jenazah seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Pondok Batang dan urusan selesai sekitar jam 12.30 tengah malam. Muga roh moksu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Aamiin🤲

Kakchik sekeluarga tumpang bermalam di rumah mak dan keesokannya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara sebelah suami di Rembau.