Thursday, 31 August 2023

Aktiviti Kebuniti Surau Flora @ 11.8.2023

Assalam semua. Muga yang baik-baik dan indah sahaja yang mengunjungi kehidupan seharian kita. Perkara negatif kita tolak jauh-jauh supaya tiada kenangan pahit. Tetapi selagi kita hidup sebagai seorang insan, kenangan pahit dan manis pasti akan hadir.

Tanggal 1.8.2023 bersamaan hari Jumaat yang berkat, hujan rahmat mengiringi perjumpaan kami pada pagi itu. Masing-masing membawa potluck sebagai sarapan dan juadah bagi memeriahkan lagi majlis.

Seronok kami dapat berjumpa sesekali dan cuaca yang masih gerimis menjadi penghalang untuk kami turun ke tapak semaian dan tanaman. Aktiviti memasukkan anak benih dilakukan di bawah khemah sahaja.

Kami abadikan sedikit photo sebagai kenangan bersama. Muga kebun kita semakin makmur dengan usaha semua ahli kumpulan  sekeluarga. Kami menanam beberapa jenis sayur-sayuran. 

Terima kasih kepada Puan Aida dan suaminya Cikgu Nordin selaku pihak yang mengusahakan projek kebuniti. Alhamdulillah kami dapat hadir pada jemputan kali ini. Jazakallahu khairan jazak.












Wednesday, 30 August 2023

Kelahiran Cucu Sulung Kakchik @ 25.7.2023

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari-hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagian buat kita semua. Insha Allah.

Menantu kakchik Atirah mulai keluar tanda-tanda ingin melahirkan bayi sulungnya sejak dari hari ahad @ 23.7.23 lagi. Doktor yang merawat menyarankan agar dia menunggu di rumah sehingga gesa yang kuat dan memberikan cuti sakit kepada beliau kerana bukaan baharu 1 cm. Awal dinihari selasa beliau dimasukkan ke hospital HUKM kerana gesa sakit yang kian kuat dan malamnya setelah banyak jam berlalu, beliau telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara normal.

Syukur alhamdulillah lahirnya seorang bayi yang sihat dengan berat @ 2.77kg. Kakchik bergegas ke KL dari JB dengan menaiki bas pada pagi rabu terus ke TBS. Dari situ kakchik menaiki Lrt ke hentian Salak Selatan dan anakanda Danial telah menunggu di sana. Kami terus ke hospital kerana waktu melawat telah pun bermula.

Teruja kakchik melawat menantu dan cucu pertama. Rasa bersyukur kerana kedua-dua ibu dan bayi selamat. Agak lewat petang doktor membenarkan ibu dan bayi discharge.

Gembira sungguh kami berempat iaitu Danial, Atirah, Kakchik dan Tasya membawa bayi pulang ke rumah di Queensville, Bandar Sri Permaisuri. Muga cepat sembuh buat menantu kakchik dan muga Adam Rizq menjadi anak yang soleh. Aamiin🤲 Selamat berpantang buat Atirah.














Tuesday, 29 August 2023

Qurban Kelompok Raya Haji 2023

Assalam.. muga kalian sentiasa berada di bawah lindungan Allah swt walau di mana berada.

Raya Haji pada tahun ini jatuh pada 29.6.2023 bersamaan hari Khamis. Kakchik meraikannya dengan bersolat sunat di Surau Flora berdekatan rumah. Kakchik telah membuat tempahan untuk berqurban di surau berhampiran rumah Abang Uda dan Kak Uda di Kampung Tersusun Dato Mohd Khidir, Lipat Kajang. 

Syukur alhamdulillah kami pulang ke kampung seawal pagi hari Sabtu iaitu 1.7.2023 menuju terus ke surau kerana jamuan makan tengahari sempena qurban diadakan di situ. Ramai tetamu yang telah hadir iaitu semua peserta qurban juga keluarga dan jiran-jiran berdekatan. Kakngah pun turut hadir sama.

Tahun ini merupakan tahun kedua kami menumpang qurban bersama Kak Uda. Terima kasih kepada Abang Uda yang juga Bilal surau kerana telah menguruskan acara tersebut. Tahniah kepada semua penduduk kampung kerana telah mendapat surau baru di kejiranan yang ramai warga pencen bekas kakitangan kerajaan.

Muga amalan qurban kami di terima Allah swt. Aamiin🤲







Monday, 31 July 2023

PAPA NAZAR BOTAKKAN KEPALA UNTUK AIDIL

Assalam.. muga hari ini lebih bermakna buat kita semua berbanding dari hari semalam yang telah pun berlalu. Muga hari yang bakal tiba jua menjanjikan kebahagiaan buat kita. In shaa Allah🤲

Suami kakchik telah bernazar untuk membotakkan kepala demi kesembuhan anak ke3 kami iaitu anakanda Aidil yang mengidap sakit "anxiety". Penyakitnya itu terkena akibat di buli semasa tinggal di asrama ketika di tingkatan 1 pada tahun 2020. Walaupun telah berhenti dari Institusi tersebut dan bertukar ke sekolah harian beberapa tahun yang lalu namun anakanda kami masih menderita penyakit tersebut hingga beliau tidak boleh ke sekolah dan bercampur dengan pelajar yang lain.

Buat masa ini beliau dinasihatkan oleh pihak sekolah agar "home school" dan masih meneruskan rawatan bersama pakar remaja. Hanya hari peperiksaan sahaja beliau akan hadir menduduki di sekolah iaitu di bilik khas bagi pelajar yang sakit.

Bagi melunaskan hajat tersebut, suami kakchik telah membotakkan kepalanya beberapa hari selepas menyambut Hari Raya Haji baru-baru ini. Muga hajatnya kesampaian dan anakanda Aidil beroleh kesembuhan. Aamiin🤲

PULANG BERMALAM SBPI SELANDAR

Assalam.. muga kalian sentiasa berada dibawah rahmat lindungan Allah.

Pada tanggal 28.7.23 iaitu hari Jumaat yang lalu, pihak sekolah membenarkan semua pelajar pulang bermalam ke rumah masing-masing.


Bagi pelajar anak-anak Johor, mereka pulang dengan menaiki bas yang disewa khas oleh wakil ibubapa. Jutaan terima kasih kepada Puan Nor Fasiha Mohd Yusof yang merupakan seorang pensyarah di UTM Skudai di atas jasanya. Beliau menguruskan penyewaan bas dan senarai pelajar yang menjadi penumpang. Biasanya sewaan bas berkapasiti 44 tempat penumpang berharga RM1,100 dan jumlah itu akan dibahagikan sama rata dengan jumlah sebenar pelajar yang menjadi penumpang. Contohnya jumlah 35 penumpang, harga setiap orang perlu bayar ialah RM31.40/orang dan ini akan dibayar oleh ibubapa melalui akaun bank Puan Fasiha sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya membayar kepada syarikat bas.

Jam 12 tengahari bas yang berkenaan telah siap sedia menunggu pelajar habis sesi pembelajaran dan jika semua pelajar di dalam senarai telah cukup, bas akan bergerak sekitar jam 12.30 tengahari menuju ke selatan tanah air. Pemandu yang bertugas akan dimasukkan secara sementara ke dalam group ibubapa JB untuk memudahkan beliau mengaktifkan "live location" sebagai panduan kepada semua ibubapa. 

Biasanya hentian pertama ialah tol Yong Peng Utara, seterusnya beberapa lagi hentian seperti Air Hitam, Sedenak, Kulai dan keluar di tol Skudai. Bagi pelajar Daerah Johor Bahru hentian di Padang Kawad UTM. Bas berakhir di hentian Pasir Gudang iaitu di Masjid Taman Scientex. Begitu juga dengan perjalanan kembali ke asrama, dengan mengikuti prosedur yang sama dari Pasir Gudang seterusnya sampai ke SBPI, Selandar.

Syukur alhamdulillah anak-anak gembira menaiki bas untuk bertemu keluarga tercinta. 

Thursday, 20 July 2023

Musim Buah Kristal di Sarawak

Assalam.. muga rezeki kalian melimpah ruah dan sentiasa dikelilingi dengan insan yang berhati mulia. Aamiin.

Kakchik kongsikan kali ini mengenai buah kristal yang agak jarang kita temui. Terdapat dua variasi buah kristal iaitu yang kulitnya berwarna hijau dan yang berwarna hitam. Kedua-duanya rasa manis dan berjus. Meskipun yang hijau ini kulitnya penuh jeragat berbintik-bintik, namun rasa dia lebih sedap👍🏻😋




Sahabat kakchik yang tinggal di Kuching telah  pergi ke Pasar Ahad (Sunday Market), beliau dapati banyak buah kristal. Harga yang ditawarkan dari rm10 - rm13 per kilogram. Beliau telah membeli sebanyak 2kg, walaupun hanya dirinya seorang yang gemar menikmati buah tersebut. Manakala suami dan anak bongsunya hanya menjamah 3-4 biji sahaja. Terima kasih sahabat telah berkongsi cerita buah-buahan dari Bumi Kenyalang.



Friday, 30 June 2023

Ulang Tahun Kelahiran Suami Kakchik 30 Mei

Assalam. Muga kebahagiaan sentiasa mengiringi kalian walau  di mana pun berada.

Tanggal 30.5.2023 bersamaan hari Selasa merupakan hari ulangtahun kelahiran cinta hati kakchik yang ke 53 tahun. Syukur alhamdulillah muga dipanjangkan usia yang berkat, dikurniakan kesihatan yang baik dan diluaskan rezeki dari pelbagai sudut. Aamiin🤲




Kami meraikan secara sederhana di sebuah restoran makanan Korea bersebelahan Plaza Angsana, Johor Bahru.  Syukur alhamdulillah si bongsu kakchik pun dapat turut serta kerana sedang cuti penggal persekolahan. 

Enak juga rasa ayam goreng Korea yang disalut bersama bijan. Sesekali tukar selera supaya tidak jemu dengan makanan yang sama. Terima kasih birthday boy yang telah berbelanja untuk kami semua.














Ulangtahun Kelahiran Kakchik 9.5.2023

Assalam. Muga kalian semua ceria mengharungi hidup  bersama keluarga tercinta.

Tanggal 9 May merupakan ulangtahun kelahiran kakchik. Alhamdulillah kami sekeluarga meraikan secara sederhana di sebuah restoran sekitar Johor Bahru pada petang itu.


Turut serta bersama kami ialah ayah mentua. Terima kasih kepada suami dan anak-anak yang membeli kek juga hadiah sebagai kejutan pada hari istimewa mamanya. Muga bertambah luas rezeki kalian. Aamiin🤲





Thursday, 29 June 2023

Selamat Jalan ke Negeri Abadi Moksu

Assalam semua. Muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan kita sentiasa di bawah lindungan Allah.

Jam 2 petang tanggal 2 Jun 2023 bersamaan hari Jumaat, kakchik mendapat khabar sedih yang moksu telah menghembuskan nafas terakhir di dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah. Arwah baru saja discharge pada petang semalam setelah lebih seminggu operasi jantung dan berehat sementara di rumah anaknya iaitu sepupu kakchik di sekitar Johor Bahru.

Menurut Nisah, emaknya mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital dengan segera. Namun Allah lebih sayangkan moksu. Urusan post mortem dijalankan oleh pihak hospital dan agak lewat juga jenazah dimandi serta dikafankan. Selepas solat, jenazah dibawa pulang ke rumah arwah di Kampung Pondok Batang, Melaka.

Saudara mara dekat dan jauh telah berkumpul dari petang lagi. Oleh kerana lalu lintas yang sangat jem pada petang Jumaat itu, perjalanan mengambil masa lebih lama untuk sampai ke kampung sekitar jam 10.30 malam.

Penghormatan terakhir buat moksu oleh anak-anak, adik beradik, anak-anak saudara, jiran tetangga serta rakan kerja  sebelum disolatkan beramai-ramai sekali lagi. Jenazah seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Pondok Batang dan urusan selesai sekitar jam 12.30 tengah malam. Muga roh moksu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Aamiin🤲

Kakchik sekeluarga tumpang bermalam di rumah mak dan keesokannya menghadiri majlis perkahwinan anak saudara sebelah suami di Rembau.


Wednesday, 31 May 2023

Aidilfitri Kedua Tahun 2023

Assalam. Syukur alhamdulillah masih diberikan nafas untuk merayakan hari yang mulia bersama keluarga tersayang.

Ahad 23.4.2023 awal pagi kami bersarapan yang ringan di homestay sahaja dan kemudiannya check out. Kami menuju ke rumah bapa saudara di Sg Rambai dan kemudian ke rumah Busu Jut di Kg Balik Pulau, Bukit Baru. Dapat kami bermaafan serta menghulurkan sedikit duit raya sebagai tanda ingatan.

Kami seterusnya singgah beraya sambil membuat penghantaran barang niaga di rumah sahabat kami Hajah Rafiah di Kg. Paya Rumput, Melaka. Oleh kerana kami telah kenyang, beliau membungkus makanan rumah terbuka UMNO Paya Rumput untuk kami bawa pulang ke rumah Mak Net. Alhamdulillah rezeki jangan ditolak.

Agak petang Danial dan isteri telah sampai di rumah nenek. Kesian sungguh kerana mereka terperangkap jem selama 5 jam dan Atirah yang berbadan dua sampai pitam. Kami plan ziarah mak saudara di Kg. Relau, Asahan bersama-sama tapi sayang mereka tiada di rumah kerana beraya. Kami beraya pula di rumah mak saudara di Jalan Pondok Batang 1 dan secara rasmi kami berkumpul sekeluarga di situ.

Banyak hidangan kuih raya dan juadah yang moksu sediakan. Kami makan kuih raya sahaja kerana masih kekenyangan makan tengahari dengan nasi lemak dan bihun goreng di rumah Busu Jut tadi.








Raya Aidilfitri @ 22.4.2023

Assalam. Muga kalian beroleh ketenangan di dalam melalui liku-liku kehidupan. Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari kakchik sekeluarga.

Tanggal 22.4.2023 bersamaan dengan hari Sabtu telah diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja sebagai Hari Raya Puasa di seluruh Malaysia. Alhamdulillah tahun ini kami merayakan di Johor Bahru terlebih dahulu dengan menunaikan solat sunat Idulfitri di surau kejiranan kami iaitu Surau Flora. 

Setelah sessi bermaafan dan membungkus makanan sebagai juadah buah tangan, kami menuju ke rumah ayah mertua di Taman Damai Jaya. Syukur kami dapat berkumpul beramai-ramai sambil makan dan bermaafan serta mengabadikan potret bersama.

Kami bergerak pulang ke kampung di Melaka sebelum zohor dan sampai agak lewat kerana lebuhraya masuk dari tol Pulai Jaya jem. Kami terus ke homestay yang telah di booking sekitar Jasin Height untuk check in dan seterusnya menuju ke kampung untuk bertemu emak dan adik beradik.

Perkarangan rumah mak dipenuhi dengan kereta sanak saudara yang datang beraya pada petang itu. Rumah tua biasanya menjadi tumpuan untuk ziarah juga bermaafan. Kami mengambil peluang untuk bertemu para tetamu yang ada. 

Syukur alhamdulillah juadah yang kami bawa masih elok dan dapat kami panaskan untuk dinikmati bersama keluarga. Banyak juga juadah yang mak masak serta adik beradik bawa sebagai bekalan. Sebelah malam kami beraya ke rumah Kak Uda di Kg. Tersusun Mohd Khaidir, Lipat Kajang dan rumah Kak Ngah di Jalan Sialang, Tangkak. Setelah puas bertemu dan makan juadah yang dihidangkan kami pulang ke homestay untuk mandi, solat dan melelapkan mata.









Abang Danial bersama isterinya Atirah beraya di Kuala Selangor terlebih dahulu dan pulang ke kampung di Melaka pada raya kedua. Insha Allah jumpa esok di kampung.

Tuesday, 30 May 2023

Sahabatku Dijemput Menjadi Duyufurrahman

Assalam semua. Alhamdulillah syukur pada yang Esa kerana diberi kelapangan masa untuk menikmati kehidupan.

Petang isnin yang lalu, kakchik berkesempatan menziarah sahabat helwa yang akan berangkat menunaikan Rukun Islam yang kelima pada tarikh 2.6.23 dan 3.6.23.

Tahniah buat 3 orang sahabat taman. Kakchik menitipkan doa muga  mereka dikurniakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan untuk menunaikan haji. Seterusnya mereka selamat pulang dengan haji yang mabrur.

Kakchik juga meminta agar mereka mendoakan kakchik sekeluarga sihat dan dapat pula menjejakkan kaki ke sana. Insha Allah🤲







Monday, 1 May 2023

Minggu Suaikenal Arisya Di SISME

Assalam.. muga kalian beroleh ketenangan di dalam menjalani kehidupan seharian bersama keluarga tersayang.

Tanggal 28.3.23 telah bermula minggu suaikenal bagi kehidupan di asrama anakanda kakchik bersama kawan-kawan. Mereka membuat aktiviti berkumpulan di dewan sekolah sepanjang minggu.

Hari-hari mereka dipenuhi dengan jadual yamg padat dan yang paling best mereka dibenarkan pulang bermalam pada hujung minggu, mengikut jadual pelajar senior yang lain. Syukur alhamdulillah. Muga anak-anak betah dan selesa menjalani kehidupan berdikari di asrama. Aaamiin🤲