Sunday, 30 April 2023

Si Bongsu Daftar Masuk Sekolah Berasrama @ 27.3.23

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang dapat memberi ketenangan buat kita semua.

Syukur alhamdulillah anakanda kakchik telah mendapat tawaran untuk naik ke tingkatan satu di Sekolah Berasrama Penuh (Integrasi) Selandar. Sekolah tersebut juga bermodelkan Tahfiz Ulul Albab (TMUA).  Kami panjatkan setinggi-tinggi syukur pada Nya dengan nikmat dan peluang yang diberikan buat puteri bongsu yang memang meminati bidang tahfiz.

Kami bergerak awal subuh  pada tanggal 27.3.23 iaitu hari Isnin menuju ke Selandar bagi tujuan pendaftaran dan seterusnya sessi taklimat ibubapa/penjaga yang akan berlangsung hingga ke tengahari.

Setelah tamat sessi taklimat pelajar dan ibubapa dibenarkan membuat aktiviti bebas hingga jam 5.00 petang. Kami mengambil kesempatan tersebut untuk melawat mak kakchik di kampung yang terletak di dalam daerah yang sama. Si bongsu seronok dapat berjumpa nenek dan nenek juga rasa teruja kerana cucu bongsunya dapat sambung belajar di sekolah tahfiz.

Muga Arisya dapat menyesuaikan diri dengan kawan-kawan dan semua kakak senior di asrama juga di sekolah. Aamiin 🤲





Hari Lahir Risya Yang Ke 13 Tahun

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera dan ceria di bulan Syawal yang mulia ini. Kakchik mengambil kesempatan untuk mengucapkan "Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin".

Tanggal 27.3.23 bersamaan dengan hari Isnin ialah hari ulangtahun kelahiran anak bongsu kakchik si Risya. Syukur alhamdulillah begitu pantas masa berlalu dan si comel telah membesar menjadi remaja.

Oleh kerana ulangtahunnya di bulan puasa yang penuh berkat, jadi kami telah membuat sedikit sambutan bagi meraikannya pada hari ahad semasa berbuka puasa. Acara sambutan keluarga sahaja kerana esoknya beliau akan mendaftar di sekolah menengah dan tinggal di asrama.

Muga anak mama menjadi anak yang solehah dan berbakti kepada semua. Aamiin🤲🤲




Saturday, 1 April 2023

Si Bongsu Temuduga SBP Tahfiz Selandar

Assalam. Muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagiaan buat kita semua. In sha Allah.

Kakchik kongsikan kisah menghantar anak untuk temuduga TMUA iaitu Tahfiz Model Ulul Albab yang bertempat di SBP Integrasi Selandar. Permulaan cuti semester akhir Tahun 6 anakanda bongsu kami mendapat khabar gembira dengan panggilan telefon dari pihak sekolah iaitu SBP Selandar untuk beliau menghadiri temuduga Tahfiz bertarikh 1.3.23 bersamaan dengan hari Rabu. Pada hari kejadian kami berpagian telah menemani anakanda untuk tujuan tersebut.

Kami singgah di stesen minyak Petronas Selandar untuk si bongsu kami menukar pakaian sekolah  iaitu uniform SLB. Jadual temuduganya pada pukul 9.30 pagi bermula dengan pendaftaran. Semasa pendaftaran anak-anak dibahagi kepada dua kumpulan. Seterusnya mereka akan melalui 3 bahagian ujian iaitu ujian hafazan, bertulis iaitu menulis semula ayat Al-Quran dan bacaan tilawah.  Masing-masing di dalam satu group tersebut mengikut turutan diberikan satu mukasurat untuk dihafaz dalam tempoh masa selama 30 minit.

Setelah tamat tempoh yang diberi, anak-anak dibawa ke bilik tayang untuk menduduki ujian menulis semula ayat-ayat yang ditayang dalam tempoh 5 minit sahaja. Seterusnya peserta akan  mengikut giliran untuk ditemuduga oleh panel ustaz dimulai dengan hafazan. Tilawah akan diberi mukasurat yang lain dan perlu dibaca dengan tajwid yang betul.

Selepas itu panel akan menyentuh soalan berkenaan akademik juga kor kurikulum dan keluarga untuk melihat sejauh mana minat dan kecenderungan calon yang bakal menjadi pelajar tahfiz TMUA di SBP mereka. Keputusan ujian temuduga akan keluar seiring dengan pengumuman SBP iaitu pada 17.3.23.

Setelah temuduga berakhir kami melawat kakngah iaitu kakak kedua kakchik di rumah baru beliau di Jalan Sialang, Tangkak. Kami gerak pulang ke JB pada petang itu juga setelah berehat sebentar di rumah ngah. Syukur alhamdulillah Allah permudahkan urusan kami sekeluarga.













Friday, 31 March 2023

Oppie Kucing Kesayangan Kak Risya

Assalam semua. Muga beroleh keberkatan di dalam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Beberapa hari sebelum mendaftar ke sekolah berasrama penuh, si bongsu kakchik memanjakan si comel Oppie dengan memandikannya. Bau wangi dengan shampoo khas supaya bulu si Oppie tidak keguguran.

Puas dia gendong dan bermain-main bersama agar tidak merindui si comel bila berjauhan nanti. Banyak pesanan yang dititip buat Oppie😅seolah-olah Oppie tu faham pulak🤭 Muga si bongsu kakchik serasi tinggal di asrama demi menuntut ilmu.







Thursday, 30 March 2023

Hadiah Beg Crochet Untuk Birthday Adik Ipar

Assalam.. muga bulan puasa yang mulia ini menjanjikan kebahagiaan buat kalian semua. Muga dikurniakan rezeki dari pelbagai sudut dan bentuk. Aamiin🤲

Sempena hari lahir adik suami, kakchik kaitkan beg crochet bercorak crocodile campuran warna hijau pekat dan gold. Alhamdulillah.. kira-kira dalam tempoh 3 minggu juga untuk kakchik menyiapkannya. Ia sebagai tanda ingatan dan kenangan selama kami bersilaturrahim. Muga adik ipar kakchik suka dan sudi menggunakannya. In sha Allah. Selamat hari lahir muga panjang umur dan berbahagia bersama keluarga tersayang. Aamiin🤲



Kakchik belum berapa mahir memasang zip atau butang ketap lagi. Jadi kakchik buat seboleh yang mungkin sahaja. Terima kasih kepada para youtuber yang berkongsi patern dan cara kaitan yang kemas. Jazakallah.

Tuesday, 28 February 2023

Melawat Pusara Abah Cuti CNY 2023

Assalam.. muga kalian ceria dan dilimpahkan rezeki bagai air zam-zam yang mengalir tanpa putus.

Kakchik pulang ke kampung pada kesempatan cuti Tahun Baru Cina dan tumpang bermalam di rumah ateh adik kakchik dua malam. Kami membuat aktiviti memasak bersama-sama dan menikmati hidangan pagi, tengahari dan malam beramai-ramai sambil berborak.

Banyak kenangan zaman kanak-kanak yang mencuit hati walaupun di ketika kami laluinya penuh dengan kesusahan dan kesukaran yang tidak berapa indah. Akhirnya kami tempohi kehidupan kanak-kanak seterusnya alam persekolahan rendah juga menengah di kampung. Kakchik tinggal di asrama sejak tingkatan satu. Pulang ke kampung setiap bulan dan setiap cuti penggal hingga ke tingkatan 6 sebelum sambung belajar di Kuala Lumpur.

Aktiviti sebelum pulang ke Johor Bahru ialah melawat pusara arwah abah, adik lelaki dan saudara mara yang telah pergi menemui Illahi di Jalan 8, Kg Pondok Batang. Kami titipkan doa buat insan tersayang yang kami rindui serta sentiasa dalam ingatan.









Kak Tasya Final Sem Februari 2023

Assalam. Muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari-hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagiaan buat kita semua.

Syukur alhamdulillah akhirnya anak kedua kakchik iaitu Nurazlin Natasya selesai semester akhir pada bulan Februari 2023. Pihak pensyarah yang menjadi Supervisornya berpuas hati dengan pembentangan projek tahun final beliau. Terdapat sedikit pembetulan dan adjustment dibuat sebelum disubmit untuk tujuan publish seperti arahan pihak penyelia.

Tahniah Tasya🌹muga terus cemerlang di dalam bidang kerjaya. Aamiin🤲🤲






Hadiah Beg Crochet Untuk Guru Kelas Anak Bongsu

Assalam.. muga kalian semua sihat walafiat disamping keluarga tersayang.

Semester akhir tahun 6 sesi 2022/23 untuk anak bongsu telah berakhir pada pertengahan bulan Februari 2023. Banyak ilmu juga kenangan pahit dan manis yang telah anak-anak perolehi sepanjang 6 tahun bersekolah rendah dari semua guru-guru. Jutaan terima kasih buat semua, muga Allah membalas segala jasa dan kebaikan guru-guru.

Sebagai kenangan kakchik kaitkan beg tangan crochet buat guru kelas Puan Kamaliah Ahmad. Sudilah kiranya cikgu menerima hadiah yang tak seberapa ini. Muga beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan dilimpahkan rezeki juga berbahagia bersama keluarga. Aamiin🤲🤲



Tuesday, 31 January 2023

Majlis Sambut Menantu @31.12.22

Assalam. Muga kalian beroleh ketenangan dan ceria bersama keluarga tersayang.

Hari terakhir pada tahun 2022 iaitu 31.12.2022 bersamaan hari Sabtu telah dipilih sebagai hari istimewa menyambut menantu iaitu isteri kepada anak sulung kami Muhammad Danial dan pasangannya Atirah Hazizi. Hari yang sangat indah dimulakan dengan acara khatamul Quran bagi anak bongsu yang darjah 6. Sepatutnya acara khatam dirancang 2 tahun lepas sempena hari lahir beliau ke 10 tahun tetapi disebabkan PKP dan Covid 19 terpaksa ditangguhkan. 




Syukur alhamdulillah Ustaz Wan Faisal yang menjadi guru beliau sudi datang untuk acara tersebut dengan diiringi beberapa orang anak ngaji yang berkesempatan bersama. Selepas bacaan akhir surah-surah pendek dan doa khatam serta doa selamat, sedikit jamuan dihidangkan. Berkat pulut kuning bersama rendang ayam & bunga telur diberi sebagai buah tangan tradisi.

Seterusnya majlis kami pun bermula dengan ketibaan keluarga terdekat dan jiran-jiran serta sahabat dekat dan jauh. Cuaca yang cerah berangin membuatkan kami rasa sangat bersyukur kerana telah mempermudahkan urusan kami.

Tetamu dihidangkan dengan nasi beriyani berlaukkan daging masak beriyani, ayam masak merah, jelatah dan kari kambing. Nasi putih juga disediakan sebagai pilihan. Kuih muih dari beberapa jenis talam bersama bubur pulut hitam dan buah oren disaji sebagai pencuci mulut. Pilihan makanan ringan ialah mee rebus daging yang enak dari Kampung Melayu. Aiskrim kon berperisa vanila dan coklat juga turut disajikan.

Acara bersanding mengikut jadual pada pukul 12.30 tengahari diserikan lagi dengan acara merenjis bunga rampai sebagai acara perkenalan dengan pengantin. Untuk melayani anak-anak kecil, diadakan acara membaling gula-gula yang dilekatkan duit syiling. Bukan main seronok mereka kutip lolipop beramai-ramai🤭 walau cuma ada tepekan syiling 0.50 dan 0.20 sahaja.

Majlis bersambung dengan makan beradab bersama keluarga pihak pengantin perempuan yang datang dari Kuala Selangor. Pengantin juga sempat memotong kek yang dihadiahkan oleh pihak catering. Mereka turut menyantuni tetamu dari meja ke meja sambil memperkenalkan diri juga mengucapkan terima kasih di atas kesudian meraikan majlis mereka.

Muga ikatan cinta anak dan menantu kakchik berkekalan dan majlis kami diberkati Allah. Aamiin🤲🤲

Thursday, 26 January 2023

Family Day di Kuala Rompin

Assalam.. muga kalian ceria bersama keluarga tersayang.

Ahad bersamaan 25.12.22 iaitu cuti hari natal. Kami mengambil kesempatan join family day sahabat sekolah TIJB suami kakchik. Alhamdulillah cuaca agak cerah walau ada sedikit mendung dan hujan  di hujung petang.

Seramai 14 orang pihak suami dan 12 orang isteri serta beberapa orang anak yang dapat turut serta. 2 orang kaum bapa ride solo menaiki motosikal dan beberapa pasangan suami dan isteri turut ride berkumpulan. Yang bawa anak-anak datang berkereta termasuk kakchik sekeluarga.

Kami tiba di Kuala Rompin Beach Resort sekitar pukul 11.30 pagi melalui Jalan Jementah dari arah Asahan. Seterusnya kami melalui pinggir bandar Segamat untuk ke Muadzam Shah dan menyusuri perkampungan orang asli sebelum tiba di Kuala Rompin.  Terdapat pasar tani yang agak besar dan luas di Bandar Kuala Rompin. Pelbagai hasil bumi dan laut yang dijual disitu. 

Banyak jenis buah-buahan dijual dan udang segar menjadi tarikan utama. Ada di antara sahabat yang turut membeli udang galah untuk di bawa pulang kerana harga yang berpatutan dan mampu milik. Mereka simpan di peti sejuk dulu sebelum di bawa pulang ke tempat masing-masing.






























Hidangan tengahari bersama semua keluarga yang hadir telah di sediakan. Selepas makan kami check in bilik hotel dan menunaikan solat sebelum bersiap ke acara berikutnya iaitu makan ikan/udang celop tepung di Pantai Penyabong, Endau. Kiranya masuk semula ke negeri Johor sebab Kuala Rompin terletak sempadan dengan Pahang-Johor. Cantik permandangan pantainya dan ramai sekali pengunjung yang membawa keluarga bersantai sambil menikmati makanan laut yang segar.

Malamnya kami berbabeque di tepi pantai. Kaum bapa yang bertungkus lumus menyediakan semua juadah hidangan. Acara bersambung dengan borak-borak santai sebelum pulang ke kamar masing-masing. Tengah malam itu hujan turun agak lebat sehingga air pasang dari laut melimpah ke tepian resort yang bertanah agak rendah.


Keesokan pagi kami beriadah di tepi pantai dan seterusnya bersarapan pagi dengan nasi lemak bersama beberapa jenis kuih muih. Aktiviti bebas seperti mandi di kolam renang atau laut hingga tiba masa untuk check out. Alhamdulillah tercipta kenangan indah serta ukhwah bersama. Terima kasih kepada semua sahabat. Ada rezeki in shaa Allah berjumpa lagi🤲🤲














Wednesday, 25 January 2023

Meraikan Majlis Resepsi Anak Sahabat Sharodz

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan ketenangan sentiasa menemani kalian semua.

Sabtu bersamaan tanggal 24.12.22 kakchik sempat menghadiri majlis menyambut menantu buat sahabat, Norazila Abu Hussin di Taman Paya Rumput Perdana. Jamuan resepsi diadakan di perkarangan surau. Tahniah! Selamat pengantin baru buat kedua mempelai. Muga jodoh berpanjangan dan bahagia hingga ke jannah. Aamiin🤲🤲





Hari yang sama kami turut menerima jemputan seorang lagi sahabat Sharodz iaitu Murni binti Minhat yang sekampung dengan kakchik di Kg. Pondok Batang. Beliau menyambut dua menantu sekaligus. Tahniah! Selamat pengantin baru buat kedua-dua pasangan pengantin. Muga jodoh berkekalan dan dikurniakan anak-anak yang soleh juga yang solehah. Aamiin🤲🤲





Setelah selesai kami singgah di rumah emak kakchik yang terletak berhampiran dan tumpang bermalam di situ. Keesokan paginya selepas sarapan kami bergerak ke Kuala Rompin untuk menghadiri hari keluarga bersama sahabat sekolah suami kakchik. Syukur alhamdulillah.

Wednesday, 30 November 2022

Reunion sempena 40 Tahun Anniversary Batch 82-86

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera dan berbahagia bersama keluarga tersayang

Tanggal 29.10.2022 bersamaan hari Sabtu bertempat di Ames Hotel Melaka telah berlangsung majlis yang kami rancang selama hampir 2 bulan. Syukur alhamdulillah seramai 52 orang bekas pelajar Sek. Men (A) Sharifah Rodziah yang sekarang lebih dikenali dengan Sekolah Berprestasi Tinggi hadir memeriahkan majlis kami. Batch tingkatan 1 kami bermula pada tahun 1982 dan tahun ini genaplah 40 tahun perkenalan antara kami. 

Masih teringat-ingat lagi minggu orientasi dan suka duka sepanjang tinggal di asrama yang terletak di atas bukit yang berlatarkan permandangan laut dari Selat Melaka yang membiru terbentang luas.






Perlantikan Perdana Menteri ke 10

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagian buat kita semua dengan perlantikan Perdana Menteri ke 10.

Setelah masing-masing puas menunggu keputusan PRU 15 dan hasilnya tiada satu parti pun yang meraih majoriti 2/3 bagi membentuk kerajaan sendiri maka kerajaan campuran harus ditubuhkan. Hari Sabtu 19.11 berlalu begitu sahaja, keesokannya pula rakyat ternanti-nanti hasil rundingan ketua-ketua parti yang berlarutan hingga ke hari Isnin, Selasa dan Rabu.

Petang Rabu baru ada pengumuman yang keesokannya pada tanggal 24.11.2022 bersamaan hari Khamis jam 5.00 petang akan diadakan upacara angkat sumpah jawatan Perdana Menteri. Maka pada masa tersebut Yang Dipertuan Agung telah melantik Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10 melalui kerajaan campuran yang terbentuk dari PH yang bergabung bersama BN, PRS dan Parti Rakyat Sabah yang dikenali sebagai Perikatan Nasional. Tahniah Malaysia! Muga terus makmur dan maju.