Tuesday, 31 October 2023

Daun Mangga Gugur

Assalam... muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang menjanjikan rezeki buat kita semua. Aamiin🤲

Setelah musim buah mangga berakhir, tinggal beberapa biji lagi yang masih hijau maka daun-daun pun berguguran luruh dan digantikan dengan pucuk baru. Cantik warna hijau muda bercampur-campur dengan warna hijau daun.

Bertaburan daun yang berguguran apabila angin bertiup agak kencang ketika hujan. Setiap petang akan turun hujan sekarang kerana akhir tahun musim tengkujuh.





Kakchik cuba usaha untuk membersihkan dedaunan hampir setiap malam. Kakchik anggap sebagai riadah sahaja.

Terdapat sedikit bunga mangga yang keluar dicelah-celah dedaunan. Agak pelik kali ni bersambung pulak bunganya tetapi tidak menyeluruh. Suami kakchik akan trim dahan-dahan yang agak tinggi pada bulan hadapan supaya tidak mengganggu wayar elektrik.

Ulangtahun Kelahiran Aidil - 16 Tahun

Assalam.. syukur alhamdulillah masih bernafas di bumi Allah yang luas penuh nikmat dan limpahan rezeki. Aamiin🤲

Tanggal 22.10.2023 bersamaan dengan hari Ahad merupakan hari ulangtahun kelahiran anak ke3 kakchik iaitu Abang Aidil yang ke 16 tahun. Syukur alhamdulillah muga Allah panjangkan umurnya yang berkat menjadi remaja belia yang soleh dan berbakti kepada kedua orang tua.

Kek parutan keju kesukaan beliau kakchik tempah dengan seorang sahabat yang tinggal di Bandar Baru Kangkar Pulai. Kebetulan anak bongsu kakchik sekelas dengan anaknya di SISME jadi kami saling berhubungan. Sedap hasil air tangan sahabat kakchik ni dan harga pun sangat berpatutan. Terima kasih Miza Smi yang buat penghantaran hingga ke rumah.

Kakchik meraikan anak bujang dengan makan tengahari di sekitar Bandar Jasin setelah membawa outing si bongsu. Kami singgah di rumah mak kakchik tetapi mak kurang sihat dan tak dapat join kami. Perutnya tidak boleh masuk sembarangan makanan.

Syukur alhamdulillah kami agihkan sedikit kek untuk mak jamah. Kami menghabiskan masa agak lama di rumah mak setelah pulang dari makan dan berbelanja. Selepas solat asar iaitu jam 5.30 petang baru kami gerak menghantar si bongsu pulang ke asrama semula.










Cuaca mendung bertukar menjadi hujan yang lebat. Kami tetap ke Pekan Gemencheh untuk membeli Tea live yang rakan-rakan Risya kirim. Pekan Selandar tiada cawangan kedai tersebut. Alhamdulillah si bongsu selamat kami hantar dan kami terus pulang ke JB.

Dialog Prestasi Dan PBD SISME @ 27.10.2023

Assalam.. muga kalian beroleh ketenangan dan kebahagian bersama yang tersayang. Aamiin.

Awal subuh Jumaat yang penuh barokah kami telah bermusafir dari Johor Bahru ke Selandar, Melaka bagi tujuan menghadiri aktiviti sekolah puteri bongsu kakchik. Kami menunaikan fardhu subuh di rnr Machap dan meneruskan lagi perjalanan hingga keluar tol Tangkak. 

Kami bersarapan roti canai di warung sekitar pinggir Bandar Tangkak dan kami membungkus sarapan untuk kakngah juga si bongsu. Perjalanan diteruskan lagi dan kami singgah menurunkan perapan ayam sejukbeku, sedikit sayur juga perkakasan memasak di rumah kakngah yang terletak di Kampung Sialang.

Perjalanan kami teruskan hingga sampai ke sekolah. Ketika itu majlis pembukaan sedang berlangsung dengan penerangan dari Teacher Aziah, guru koperasi juga merupakan guru Bahasa Inggeris Arisya. Beliau menerangkan tentang sistem taksiran kepada semua ibubapa yang hadir sebelum kami semua bersurai untuk sesi dialog dengan semua guru mata pelajaran yang sedia memberikan komen juga nasihat mengenai pencapaian anak-anak.

Kakchik mulakan dengan berjumpa guru halaqah iaitu Ustazah Nor Aidah. Alhamdulillah prestasi Arisya amat menggalakkan dan telah mendapat TP 6 iaitu cemerlang untuk kedua-dua subjek Hifz Al Quran dan Maarat. Kami juga berjumpa semua guru yang mengajar si bongsu dan menerima segala komen juga pujian dengan hati yang terbuka agar anak kami terus cemerlang dunia dan akhirat. Jazakumullahu khairan kathira buat semua guru yang mendidik anak kakchik.







Sebelum zohor kakchik sekeluarga meninggalkan sekolah dan asrama dengan membawa pulang si bongsu. Kami singgah di rumah kakngah. Suami dan anak bujang kakchik ke masjid berdekatan untuk solat Jumaat dan kami menunggu mereka pulang untuk menjamu selera dengan hidangan lazat masakan kakngah. Kakchik cuma tolong rebuskan telur sahaja kerana masakan lain telah siap sedia.

Alhamdulillah terima kasih kakngah untuk masakan yang enak dan telah membungkus makanan lebihan untuk kami bawa pulang ke JB selepas solat asar petang itu. Muga Allah membalasmu dengan segala kebaikan. Aamiin🤲

Sunday, 1 October 2023

Birthday Tasya ke 25

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera bersama keluarga tersayang.

Tanggal 17.9.2023 bersamaan hari Ahad merupakan hari ulangtahun anakanda kedua kakchik si cantik manis Natasya. Kakchik doakan muga beliau dipanjangkan umur yang berkat dan berjaya di dalam kerjaya serta bertemu jodoh dengan lelaki yang bertanggungjawab. Aamiin🤲

Tahun ini kami tidak dapat menyambut bersama kerana kak Tasya tinggal di area KL. Kami hanya dapat bervideo call bersama ketika membawa adik bongsunya yang duduk asrama outing pada hari tersebut.

Sehari sebelumnya kak Tasya bermalam di rumah abang Anil dan dibelanja oleh abang dan Kak Atirah. Mereka keluar bersama Baby Adam.