Sunday, 31 July 2022

PERTANDINGAN BERCERITA PERINGKAT NEGERI JOHOR 2022

Assalam. Muga hari-hari yang kalian tempohi tenang dan damai.

Kakchik kongsikan penyertaan anak bongsu di dalam acara bercerita Tilawah Peringkat Negeri Johor sebagai wakil Daerah Johor Bahru. Acara di adakan di Sekolah Agama Dato' Abdullah Esa, Kg. Melayu Majidee pada tanggal 29.6.2022 bersamaan hari Rabu. Semua peserta perlu mendaftar pada 28.6.22 dan bermalam di Hotel Lace, Johor Bahru bersama guru pembimbing masing-masing.

Kakchik sampai agak lewat kerana Jalan Skudai jem teruk akibat kemalangan yg berlaku awal pagi itu  berdekatan Paradigm Mall. Syukur alhamdulillah dapat jugak menyaksikan si comel kakchik menyampaikan persembahan. Semua peserta adalah terbaik antara yang baik. Mereka menyampaikan cerita masing-masing dengan penuh gaya dan semangat.

Selesai persembahan peserta terakhir, pihak penganjur menyampaikan hadiah penyertaan berupa goodies kepada setiap peserta. Majlis penyampaian hadiah untuk keseluruhan acara dijadualkan selepas solat zohor.










Syukur alhamdulillah walau Arisya hanya mendapat saguhati namun kejayaan melangkah ke peringkat negeri sangat bermakna bagi menambah ilmu juga pengalaman yang sangat berharga untuk panduan di masa hadapan.


Muga Arisya terus berjaya pada masa akan datang. Aamiin🤲🤲

Tuesday, 26 July 2022

Tukar Tingkap Nako Ke Tingkap Sliding

Assalam semua. Muga kalian beroleh kesihatan dan ketenangan walau dimana kalian berada.

Tahun 2022 genaplah 15 tahun usia flat sewaan yang kakchik beli di area Gelang Patah, Johor. Seiring dengan usianya maka kerangka tingkap nako yang terkena direct pancaran matahari dan tempias hujan telah mereput. Cat di bahagian bawah dan atas singki, juga di bilik bersebelahan semuanya rosak kerana "waterproofing". 

Kesempatan penyewa yang keluar pada hujung bulan Mei 2022 kakchik manfaatkan untuk kerja selenggara cat yang rosak dan juga mengganti tingkap nako kepada tingkap sliding. Sebut harga untuk tingkap sliding bagi 3 tingkap ialah RM350.00 setiap satu dan mengambil tempoh seminggu untuk tempahan siap dengan bayaran pendahuluan 50%. Harga selepas diskaun menjadi seribu Ringgit Malaysia.

Setelah memilih beberapa tukang, akhirnya kakchik bersetuju untuk mengupah abang ipar yang agak mahir membuat kerja-kerja pertukangan dan pembinaan. Syukur alhamdulillah. Kebanyakan tukang Indon memberi sebut harga yang agak tinggi dengan harga setiap tingkap RM600 + bayaran upah pemasangan RM200 setiap tingkap. Boleh cepat kaya nampaknya🤭

Abang ipar juga memilih jenis cat yang kalis air bagi permukaan dinding yang telah rosak. Beliau mengikis cat yang lama terlebih dahulu sebelum memulakan sapuan cat yang baru. Beliau turut membaiki tangki air yang melimpah airnya dan memasang dua plug di bilik paling hadapan yang selama ini tidak disediakan plug oleh pihak pemaju. Di bawah ini kakchik kongsikan beberapa photo kerosakan.









Ini pula photo-photo ketika kerja membaikpulih sedang berlangsung.










Akhirnya kakchik kongsikan photo selepas kerja cat + pemasangan tingkap sliding siap.







Bagi sesiapa yang ingin menukar tingkap nako kepada tingkap sliding boleh share contact di bawah. Muga bermanfaat.




Berbanyak terima kasih kepada pasangan pengantin baru yang menjadi penyewa flat kakchik. Mereka telah memberi kerjasama untuk kerja baikpulih berjalan lancar. Muga kalian selesa membina hidup baru di rumah sewa. Insya Allah. Aamiin🤲🤲🤲

Thursday, 30 June 2022

Birthday Papa @ 30.5.22

Assalam semua. Muga hari ini lebih baik dari semalam dan hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagian buat kita.

Tanggal 30 Mei bersamaan dengan hari Isnin merupakan hari ulang tahun kelahiran buat suami kakchik yang tercinta. Muga dikurniakan kesihatan yang baik dan berbahagia bersama anak-anak juga keluarga. 

Syukur alhamdulillah hari istimewa ini kami raikan dengan makan malam bersama di Restoran Mee Tarik, Paradigm Mall. Lama juga kami tak berkunjung ke Mall ni, ada beberapa promosi jualan yang menarik tetapi waktu sangat terhad untuk kami membeli-belah.

Kami sempat ke Watson sahaja untuk beli sun block dan beberapa barangan lagi.









Wednesday, 29 June 2022

Birthday Kakchik @ 9.5.22

Assalam semua.. doa yang baik-baik untuk mendapatkan kehidupan yang aman dan menenangkan. Syukur alhamdulillah.

Tanggal 9 May bersamaan hari Isnin kami sekeluarga merayakan hari lahir kakchik dengan makan malam bersama di sebuah restoran berdekatan Setia Tropika. Alhamdulillah syukur Allah masih beri nafas dan meminjamkan kehidupan kepada kakchik untuk melihat anak-anak membesar di depan mata.

Nikmat kehidupan masih dirasai dengan selalu merasa cukup dan bersyukur dengan apa yang kita miliki kerana dunia hanyalah sandaran untuk alam akhirat yang kekal abadi.

Terima kasih pada suami dan anak-anak yang menyayangi mama seadanya. Muga rezeki kami sekeluarga bertambah dengan pertambahan usia yang berkat. Aamiin🤲










Tuesday, 28 June 2022

Perkahwinan Anak Saudara @ 12.3.2022

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera bersama insan yang tersayang.


Tanggal 12 Mac 2022 bersamaan hari Sabtu merupakan tarikh mengundi bagi PRN Johor. Kebetulan tarikh tersebut juga berlangsung majlis perkahwinan anak saudara sebelah suami kakchik yang bernama Shahrul Aiman bin Othman. Majlis diadakan di Dewanraya Taman Nusantara.


Pada pagi harinya kakchik terlebih dahulu menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara. Kali ini kakchik mengundi di tempat yang sama seperti tahun 2018 iaitu di Sekolah Agama Taman Universiti. Setelah itu kakchik pun bersiap-siap untuk ke majlis adik ipar yang bernama Nurhidayah sebagai ibu pengantin.


Majlis telah pun berlangsung dan kakchik membantu di bahagian goodies. Jemputan agak ramai dan seronok rasanya dapat bertemu saudara mara yang hadir memenuhi jemputan. Selamat pengantin baru buat Aiman dan pasangannya dengan nama timangan "baby".  Muga ikatan suci yang terjalin berbahagia hingga ke syurga nanti. Aamiin.








Tuesday, 31 May 2022

Ziarah Kasih Raya Kedua

Assalam. Muga kalian berbahagia di hari yang mulia ini.

Syawal kedua bersamaan dengan hari Selasa 3.5.2022 kakchik sekeluarga berkunjung ke rumah mak/bapa saudara, kakak dan nenek saudara. Anggaran dalam 10 buah rumah yang kami kunjungi. Mak saudara yang rumahnya di Kg Bukit Pulau tiada di rumah pada hari tersebut.













Kami mulai dengan rumah Mokda Debab di Kg Relau, Asahan. Mereka tiada di rumah kerana ziarah beramai-ramai sekali dengan keluarga Busu Jut ke Kota Tinggi, Johor. Seterusnya kami ke rumah Poklong Yahya di Kg. Dok iaitu jalan menuju ke Tangkak. Alhamdulillah dapat kami bertemu dengan Poklong juga anaknya.

Kami melalui Bandar Tangkak untuk ke rumah Kakngah di Jasin. Trafik agak jem kerana banyak kenderaan di musim perayaan. Sedap masakan rendang arnab istimewa di rumah Kakngah. Kami terserempak dengan anak saudara iaitu Azura sekeluarga yang turut beraya disitu. Jadinya selepas itu kami konvoi 3 kereta menuju ke Bukit Baru dan Bukit Katil.

Oleh kerana Busu Jut tiada di rumah, kami pun ke rumah Neksu pula di Kg. Bukit Bayan, Bukit Katil. Alhamdulillah dapat kami ziarah neksu. Ketika itu neksu seorang sahaja kerana kedua-dua anaknya berkonvoi raya.

Rombongan kami teruskan lagi untuk ke rumah mak dan pak saudara di Jalan Pondok Batang 1. Terdapat 6 buah rumah bersaudara di sini. Kami mulai dengan rumah Busu Norliah, Maklong Rahmah, Maklang Aminah, rumah Arwah Mokda Lijah, rumah Mektam Faridah dan akhir sekali rumah Pokteh Rahman. Syukur alhamdulillah kami dapat berkunjung kasih ke semua rumah walau tidak sempat berfoto.

Seterusnya kami menghantar Anna ke rumah Ateh yang juga tidak berapa jauh dari situ, masih di dalam kampung yang sama. Kami berborak dan menjamu selera sebelum pulang ke rumah mak di Jalan Pondok Batang 2/3.

Lengkaplah raya kami seadanya. Beraya sambil ziarah dan berbagi rezeki. Syukur alhamdulillah. Esoknya kami pulang ke Johor Bahru dengan konvoi dua kereta. Muga Allah melindungi kami. Aamiin

Majlis Khatam Al Quran Surau Flora @ 15.4.2022

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan dilimpahkan rezeki yang banyak dari pelbagai sudut untuk hari yang bakal mendatang.

Kakchik kongsikan aktiviti kariah surau kami sepanjang Ramadhan yang lalu. Tanggal 15.4.2022 bersamaan hari Jumaat yang penuh barokah kakchik dan anak bongsu sempat turut serta di acara khatam Al Quran. Gembira dan bersyukur kerana Allah memberi ruang untuk kami bersama-sama bertadarrus membaiki bacaan Al Quran masing-masing hingga khatam 30 juzuk.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak pengurusan Surau Flora yang sangat berdedikasi di dalam menyemarakkan bulan yang mulia ini.

Kami masih lagi meneruskan tadarrus di dalam kumpulan yang kecil kerana Ramadhan yang berbaki 2 minggu lagi. Muga kami diizinkan olehNya untuk terus istiqamah di dalam beribadah. Aamiin.












Aidilfitri 2022 @ 2hb Mei


Assalam.. muga kalian semua beroleh kesejahteraan dan hidup di dalam lindungan Allah swt.

Sambutan Syawal pada tahun ini sangat berlainan dari tahun-tahun sebelumnya. Pada pukul 8.00 malam tanggal 1.5.22 Penyimpan Mohor Besar Raja-raja telah mengumumkan bahawa anak bulan telah kelihatan di dua tempat. Maka tarikh hari raya puasa jatuh pada hari isnin @ 2.5.2022. Jika menurut kalendar hari raya ditetapkan pada hari selasa @ 3.5.2022.

Maka kelam kabut masing-masing menyiapkan juadah hari raya dan kelengkapan yang lain. Kakchik sekeluarga pulang ke kampung pada petang ahad itu dan kami berbuka di sebuah restoran di Bandar Tangkak. Selepas selesai berbuka, kakchik sekeluarga terus pulang ke kampung kakchik di Daerah Jasin, Melaka. Konvoi dua kereta dengan Abang Danial dari Kuala Lumpur.

Syukur alhamdulillah kami sempat membuat ketupat dan rendang pada malam itu. Ketupat batch pertama siap di rebus hampir pukul 5.00 pagi. Barai juga mata kakchik menunggu sambil berkemas serba sedikit keperluan untuk hidangan kuih dan biskut raya.

Selamat Hari Raya & maaf zahir batin dari kakchik sekeluarga.

Saturday, 30 April 2022

KHATAM - TADARRUS GROUP KECIL SURAU FLORA

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang menjanjikan keceriaan buat kita semua.

Hari minggu yang lalu bersamaan dengan tanggal 24.4.2022 group kecil tadarrus kami mengadakan sedikit majlis khatam. Kiranya kami bertadarrus lagi selepas khatam yang pertama di group besar Surau Flora. Syukur alhamdulillah🤲🤲

Indahnya bertadarrus bersama jiran tetangga dan mendalami bacaan Al Quran. Terima kasih kepada sahabat yang tidak pernah jemu memperbetulkan bacaan kakchik juga rakan-rakan yang lain. Terima kasih di atas ilmu yang dikongsi bersama.






Muga dapat bertemu lagi dengan Ramadhan tahun-tahun berikutnya. Insya Allah.

PHOTO SCAN - BABY RISYA

Assalam.. muga kalian sihat sejahtera menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan ini.

Kakchik kongsikan kali ini photo scan semasa kandungan baby Risya pada 3 bulan yang pertama bertarikh 25.8.2009 di Poliklinik Damai dengan Dr. Kamaruzaman. Tarikh jangkaan kakchik melahirkan ialah pada 26.3.2010 dan memang ketika tarikh tersebut kakchik sepatutnya admit ke hospital kerana mengalami kekejangan bahagian atas peha juga kontraksi selang setengah jam.



Oleh kerana hubby kakchik sedang bekerja di luar kawasan ketika itu, jadinya terpaksa menunggu hingga beliau sampai rumah. Agak lewat beliau sampai hampir jam 12 tengah malam dan kakchik yang pada awalnya kerap ke bilik air merasa agak lega dan dapat lena hingga ke subuh. Kami tidak jadi ke hospital kerana suami kakchik pula yang sakit perut seperti bergilir dengan kontraksi kakchik pada awalnya tadi.


Paginya kira-kira jam 9.30 kami bergegas ke hospital untuk masuk wad dan kakchik terus di masukkan ke bilik bersalin kerana kontraksi yang semakin kerap dan bukaan yang agak banyak setelah ujian CTG dibuat. Nurse yang bertugas agak tergelak bila kakchik jawap "dah sarapan biskut tadi". Mereka siap buatkan milo untuk kakchik minum bagi menambah tenaga.

Alhamdulillah kakchik selamat melahirkan baby Arisya pada hari yang sama iaitu 27.3.2010 dan seterusnya keesokan hari kira-kira jam 11.00 pagi dibenarkan pulang setelah kesihatan ibu & bayi memuaskan pihak hospital. Syukur dan lega kakchik rasakan bila dapat pulang ke rumah sendiri.