Monday, 31 January 2022

PANCING TALAPIA DI KOLAM KAMPUNG

Assalam. Muga kalian beroleh kesejahteraan bersama keluarga tersayang.

Musim cuti sekolah kali ini kakchik pulang melawat bonda di kampung. Kebetulan Kak Uda, Ateh dan anak juga ada. Mereka seronok beramai-ramai membuat aktiviti memancing. Umpan yang digunakan ialah hati ayam sahaja. Kolam ikan telah berwajah baru kerana telah di selimut dengan kelambu hitam, bagi mengelak dari burung yang kerap mencapai anak-anak ikan.

Ikan yang dibela oleh adik bongsu kakchik ialah ikan talapia, ikan keli dan ada sedikit ikan haruan. Buat masa ini harga ikan talapia merah ialah RM13/kg. Terdapat beberapa tempahan dari jiran juga saudara mara yang terdekat. Adik bongsu kakchik seronok memenuhi masa yang terluang selain dari beliau menjadi stokis produk kecantikan.









TRIP BUKIT TINGGI-CHERATING-JENGKA-DURIAN TUNGGAL

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari esok yang bakal menjelma dapat kita lalui dengan penuh keceriaan. Insya Allah.

Pada 24.12.2021 bersamaan hari Jumaat yang penuh barokah kakchik dan family adik ipar bergerak ke Bukit Tinggi iaitu kawasan peranginan yang terdapat binaan ala-ala Inggeris dan bersuhu agak nyaman kerana ketinggiannya. Berikutan banjir besar yang melanda Selangor dan Pahang pada minggu sebelumnya, terdapat juga kejadian tanah runtuh di laluan sebelah kanan untuk naik ke resort di Bukit Tinggi. 

Pihak pengawal yang bertugas menunjukkan laluan yang selamat dan konvoi dua kereta kami berjaya sampai ke puncak kawasan resort untuk menikmati pemandangan juga binaan yang indah untuk diabadikan di dalam foto sebagai kenangan.





Seterusnya kami bergerak menuju ke Cherating. Kami terpaksa mengikut laluan Mentakab/Termerloh untuk masuk ke Tol Chenor kerana laluan masuk Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Karak di tutup buat sementara waktu kerana banjir.

Kami berhenti untuk makan tengahari di tengah perjalanan dengan menu istimewa masakan Pahang iaitu patin tempoyak. Bagi yang tidak makan hidangan tersebut, terdapat juga pilihan ayam goreng dan rendang daging.

Kami tiba di Cherating agak lewat petang dan bergegas untuk solat jamak. Kami check in di Tanjung Inn Resort dan bersolat maghrib sebelum makan malam di salah satu restoran berhampiran.




Pada 25.12.2021 bersamaan hari Sabtu kami bersarapan pagi di warung berhampiran. Menu nasi lemak dan nasi dagang sangat enak di tekak kami pada pagi itu. Kami menghabiskan masa mandi manda di pantai yang berhampiran resort, beberapa meter berjalan kaki ikut laluan belakang resort.






Setelah anak-anak puas bermain di Pantai Cherating yang indah kami pun bersiap-siap untuk check out. Kami berhenti membeli keropok di kawasan jualan keropok lekor di sempadan negeri Pahang dan Terengganu sebagai buah tangan.

Destinasi seterusnya ialah menghadiri jemputan kahwin di Jengka 3, iaitu majlis rumah abang tiri kakchik. Alhamdulillah dapat kami meraikan majlis dan menyantuni saudara kami.

Laluan pulang ke Durian Tunggal agak mencabar kerana sepanjang perjalanan terdapat kesan banjir di laluan Maran, Bera dan seterusnya ke Serting. Kami melalui Jalan Rompin - Batang Melaka sebelum bertemu Selandar dan syukur alhamdulillah selamat sampai ke rumah kami.

Friday, 28 January 2022

BOOSTER DOSE VAKSIN 8.1.22

Assalam. Muga hari-hari yang kalian lalui menenangkan bersama yang tersayang.

Kakchik telah menerima pesanan ringkas (sms) dari pihak KKM untuk janjitemu suntikan penggalak yang dijadualkan pada tarikh 8.1.22 bersamaan dengan hari Sabtu. Suami kakchik pun mendapat janjitemu yang sama iaitu di Dewan Raya Taman Universiti, Johor Bahru. Ianya berhampiran dengan tempat tinggal kami di Taman Pulai Utama.


Syukur alhamdulillah kakchik dan suami tidak mengalami simptom dan alahan teruk. Kakchik cuma sesekali terasa bisa tulang jika membuat kerja terlalu lama pada keesokannya. Pada hari ketiga sakit-sakit dan sengal tulang sembuh.

Muga kita semua sentiasa dilindungi Allah Taala dari segala bencana. Aamiin.