Thursday 29 February 2024

Sesi Persekolahan 2023/24 Berakhir 8.2.2024

Assalam.. muga kita semua beroleh nikmat kehidupan dan menjadi seseorang yang bermanfaat kepada sesama insan.

Semester akhir persekolahan melabuhkan tirainya pada tanggal 8.2.2024 iaitu pada hari Khamis. Kakchik dan suami menjemput kepulangan anakanda bongsu kami di asrama kerana setiap pelajar perlu mengosongkan almari di dorm masing-masing.

Kami tiba agak tengahari di asrama dan ketika itu perkarangan depan aspuri dibanjiri dengan barangan pelajar. Suasana agak meriah dengan pelajar yang menantikan ketibaan penjaga mereka. 

Kami membantu si bongsu memunggah begnya dan seterusnya bergerak ke Tangkak untuk menikmati makan tengahari dan singgah menghantar barangan ke rumah kakngah di Jalan Sialang. Kakngah puasa pada hari tersebut.

Cuti sekolah yang dijadualkan selama sebulan dan akan pulang semula ke asrama pada tarikh 10.3.2024 iaitu naik ke tingkatan 2. Alhamdulillah si bongsu telah pun melepasi tahun pertama yang amat sukar untuk berpisah dengan keluarga. Muga Risya serasi dan mudah menyerap ilmu pengetahuan nanti. Aamiin🤲



Exam Sijil Darjah Khas Negeri Johor 2023

Assalam.. muga kita semua dikurniakan ketenangan juga kebahagiaan di dalam menjalani kehidupan seharian.

Syukur alhamdulillah anak bongsu kakchik dapat menamatkan kelas terakhir bagi Darjah Khas pada hari Sabtu bersamaan 17.2.2024 dan esoknya bermula Peperiksaan Sijil Darjah Khas dari 18 ~ 22.2.2024 iaitu selama seminggu.

Doa kakchik agar sibongsu sihat walafiat dan Allah kuatkan minda serta ingatannya untuk menjawab semua soalan dengan tepat mengikut skema jawapan. Insha Allah🤲

Kakchik kongsikan sedikit photo yang sempat ustazah sekolahnya rakam buat kenangan bersama. Terima kasih buat semua pendidik yang berusaha kuat menitipkan ilmu di dada anak-anak. Muga ilmu yang dituntut akan menjadi pedoman dan penyuluh hidup mereka.

















Aidil Wakil Giatmara Cawangan JB

Assalam.. muga kita diluaskan rezeki yang berkat dan dikurniakan kesihatan. Aamiin🤲

Hari Rabu bersamaan tanggal 21.2.24 kakchik menuju ke Batu Pahat kerana menghantar Aidil yang menjadi peserta pertandingan IT Network System Administration mewakili kolejnya. Kami bergerak selepas solat subuh dan sampai di sana sekitar jam 8.15 pagi. Trafik agak jem sepanjang jalan dari keluar tol Air Hitam ke Bandar Batu Pahat. Syukur alhamdulillah perjalanan kami lancar.

Kedatangan kami disambut dan dipersilakan menikmati sarapan pagi berupa mee goreng, telur mata dengan sambal tumis dan air teh tarik. Enak masakannya.

Sekitar jam 9 pagi pertandingan sesi pertama dimulakan. Seterusnya pada jam 11 pagi bermula sesi kedua pula. Aidil mendapat tempat ke4 dari keseluruhan daerah di Johor. Alhamdulillah pencapaian yang amat membanggakan bagi beliau yang baru join kolej hampir 2 bulan. Tahniah Aidil🌹

Makan tengahari kami berupa nasi ayam. Syukur alhamdulillah sedap masakannya. Muga Aidil dapat menimba ilmu dan pengalaman. Insha Allah.








Wednesday 28 February 2024

Majlis Perujian Tilawah Al Quran Peringkat Daerah Johor Bahru Tahun 2024M/1445 H

Assalam. Muga kita semua sentiasa di dalam rahmat Allah swt.

Tanggal 20.2.24 bersamaan dengan hari Selasa kakchik dapat mengikuti majlis tilawah yang di adakan sekitar kediaman kakchik iaitu di Masjid Pulai Utama. Alhamdulillah seronok dapat menghayati bacaan setiap peserta dengan menyemak di tafsir yang kakchik bawa bersama. Mantap bacaan bertaranum dan tajwid semua peserta.

Waktu rehat pertengahan majlis semua tetamu dihidangkan dengan sedikit kuih muih dan juga minuman sebelum majlis bersambung hingga peserta terakhir. Kira-kira jam 12.45 tengahari majlis bersurai dan dibekalkan bungkusan makan tengahari nasi campur. Keputusan rasmi dan hadiah akan diumum selepas solat maghrib nanti.

Alhamdulillah kakchik dan sahabat dapat bertemu pada maghrib tersebut di masjid untuk menyaksikan acara penyampaian hadiah yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Johor Bahru. Ustazah Zaireen dari Majlis Agama Johor pun turut serta menjadi penyampai hadiah bagi pemenang qariah. Pemenang pertama mendapat trofi dan wang tunai sebanyak RM800, pemenang kedua RM700 dan yang ketiga RM600. Tahniah dan syabas kepada semua pemenang. Mabruk!

Usai solat Isyak berjamaah semua tetamu dijamu dengan hidangan nasi beriyani kambing dan ayam. Enak sekali hidangan yang disediakan. Kami makan di dalam dulang beramai-ramai sebelum pulang ke rumah masing-masing.


Wednesday 31 January 2024

KEM SMART HUFFAZ 15-19.12.2023

Assalam. Muga kita semua dilimpahi rahmat dan rezeki dari Illahi.

Kakchik kongsikan kali ini si bongsu dan group halaqah beliau iaitu Halaqah 1 Ad Duri yang mengikuti kem huffaz di sebuah homestay di Kg Bukit Tembakau selama 5 hari, 4 malam bermula dari tanggal 15.12.2023 iaitu hari Jumaat selepas kelas tengahari.

Padat jadual yang ustazah mereka susun untuk mencapai target. Anak-anak gembira dapat tinggal bersama dan menghafaz serta tasmik di bawah satu bumbung. Alhamdulillah sehingga akhir hari ke5 anak kakchik dapat menghafaz sebanyak 1juzuk setengah.

Kakchik dan suami datang ke Melaka untuk membawa Arisya pulang ke rumah dan menghabiskan sisa cuti bersama-sama. Kesempatan ke Kg Bukit Tembakau kakchik isikan juga dengan bertemu sahabat Sharodz Norhasimah binti Hashim yang tinggal di sana. Terima kasih Shima kerana sudi jumpa kakchik dengan ole-ole Melaka sebagai buah tangan.

Terima kasih Ustazah Aidah yang rajin serta berdedikasi mendidik anak-anak. Jazakallahu khairan jazak🤲













Aidil Daftar GIATMARA, JB

Assalam.. muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang mendatang menjanjikan kebahagian buat kita semua.

Kakchik kongsikan hari pendaftaran anak ke3 iaitu Aidil di GIATMARA cawangan Johor Bahru pada tanggal 2.1.2024 bersamaan hari Selasa. Kursus yang beliau daftar ialah Teknologi Sistem Komputer. Alhamdulillah sesi taklimat dan borang bagi mendapatkan rawatan perubatan telah diambil dan pihak kolej memberikan cuti 2 hari untuk urusan tersebut.

Keesokan harinya kami ke Klinik Kesihatan Taman Universiti bagi urusan medical check up tetapi malangnya ujian urin disarankan agar dibuat di klinik swasta. Setelah mendapat result urin barulah doktor di Klinik Kesihatan akan mengesahkan borang. Jadi dah alang-alang ke klinik swasta, kami teruskan check up di sana sahaja. Bayaran yang dikenakan sebanyak RM80. Jika ujian urin sahaja, bayaran yang dikenakan sebanyak RM40. Ujian urin perlu dihantar ke makmal sekitar Johor Bahru dan result akan kami perolehi dalam tempoh 2-3 hari.

Aidil memulakan kelas pada hari Ahad berikutnya dan dimulai dengan sedikit orientasi. Syukur alhamdulillah anak kakchik Aidil dapat menyesuaikan diri dengan pembelajaran di sana yang bermula dari pukul 8.00 pagi dan berakhir pada jam 5.15 petang.

Beliau ke kolej dengan menunggang motorsikal. Muga Allah pelihara anak kakchik serta memberikan ingatan dan minat yang kuat untuk beliau menimba ilmu. Aamiin🤲











Suami Sahabat Sharodz Meninggal @ 12.10.2023

Assalam.. setiap yang bernyawa pasti akan mati dan pasangan yang ditinggalkan perlu meneruskan kehidupan walau dihimpit pilu dan sedih yang tidak berpenghujung.

Kakchik kongsikan kisah sahabat baik kakchik iaitu Hajah Rafiah yang kematian suaminya secara mengejut akibat kemalangan jalan raya pada subuh 12.10.2023 yang lalu iaitu pada hari Khamis. Arwah Haji Omran sangat rapat dengan kami kerana setiap kali aktiviti alumni atau majlis kenduri kami pasti akan bersua muka dan bertanya khabar masing-masing. Kami juga adalah sub ejen untuk produk Nasi Arab Pak Om jadi kerap kali kami bertandang dan menjamu selera di rumah arwah. Beliau juga selalu menyokong perniagaan kecil kami dengan membeli secara pukal penyembur serangga Smart Keyler. Banyak jasa arwah dan selalu di dalam ingatan kami.

Kakchik tidak sempat melawat jenazah beliau kerana pada tarikh yang sama kakchik berada di luar kawasan.  Kami singgah ziarah sahabat kakchik dirumahnya di Kg Paya Rumput, Melaka Tengah pada hari ahad ketika di dalam perjalanan pulang ke JB. Syukur alhamdulillah kakchik dapat menyerahkan sedikit amanah sumbangan dari kawan-kawan sebagai tanda ingatan persahabatan kami.

Kakchik mengucapkan takziah dan menitipkan doa agar sahabat kakchik tabah dengan ketentuan Allah. Muga roh Pak Om ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Aamiin🤲





Banyak kenangan kami bersama pasangan sahabat yang sangat baik dan pemurah ini. Allahumma firlahu warhamhu🤲

Tuesday 30 January 2024

Aidil Lulus Ujian Motor

Assalam. Muga kita penuhi hari-hari dengan keceriaan agar hidup lebih bermakna.

Kakchik kongsikan kisah anak ke3 kakchik yang menduduki ujian JPJ untuk lesen motor. Beliau mendaftar untuk taklimat dan ujian komputer setelah genap usia 16 tahun pada bulan Oktober di Sekolah Memandu sekitar Gelang Patah. 

Setelah lulus ujian komputer dan mendapat lesen L maka beberapa sesi pembelajaran beliau hadiri sebelum set ujian JPJ pada bulan lepas. Pada ujian pertama anak kakchik gagal ketika di titi kerana gugup jadinya ujian ulangan diambil pada tarikh 10.1.2024 dan alhamdulillah beliau berjaya.

Lesen motor amat perlu kerana beliau ke kolej sekitar Johor Bahru berulang alik dengan menunggang motorsikal. Seminggu lepas lulus ujian, kami membawa Aidil ke JPJ Taman Daya untuk urusan lesen P (percubaan). Dokumen yang perlu Aidil bawa bersama ialah kad pengenalan dan slip lulus ujian beserta lesen L. Tidak perlu lesen  fizikal seperti dahulu lagi, semua lesen online sahaja. Bayaran sebanyak RM2.00 dikenakan. Muga Aidil menunggang motor dengan selamat dan mengamalkan undang-undang yang telah dipelajari. Aamiin🤲

Sunday 31 December 2023

Hasil Crochet Penghujung 2023

Assalam sahabat semua. Muga kita sentiasa ceria di dalam apa jua bidang yang kita ceburi dan lalui kehidupan dengan ketenangan.

Crochet menjadi hobi kakchik di ketika waktu terluang. Ianya merupakan terapi minda dan bagaikan satu kepuasan bila dapat menyiapkan sesuatu projek. Alhamdulillah beberapa projek akhir tahun telah disiapkan.








Hasil Tanaman Labu Kuning di Kebuniti Flora

Assalam sahabat. Muga hari ini lebih baik dari hari semalam dan hari yang bakal mendatang menjanjikan kebahagian buat kita semua. Aamiin🤲

Sebagai langkah sihat dan pemupukan aktiviti bersama kejiranan setempat maka kebuniti diwujudkan untuk memberi peluang masyarakat bercucuk tanam sayur-sayuran. Ianya juga dapat membantu penjimatan duit belanja dapur kerana beberapa jenis sayuran juga herba dapat dituai hasilnya bersama.

Kakchik berpeluang turut serta di Kebuniti Flora dengan menanam labu kuning dan sayur kangkung. Seronok bertemu jiran secara mingguan dan berbagi ilmu mengenai tanaman bermula dari jenis tanah, biji benih dan baja. Kadang-kadang kami bergotong royong di pagi Jumaat untuk menanam serai, membersihkan tapak tanaman atau menyemai benih hidroponik. Kami juga bersarapan bersama dan mengutip hasil tanaman untuk jualan setempat. Syukur alhamdulillah.

Labu yang kakchik tanam sekitar bulan Ogos, 2023 telah mengeluarkan buah dan dapat dijadikan sajian lauk masak lemak. Manis dan enak sekali masakan labu segar dari kebuniti.